Pemandu Mabuk didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan sebabkan kematian penunggang motosikal

KLANG – Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, Ahad lalu.

Tertuduh tiba di mahkamah pada jam 8.50 pagi dengan memakai baju-T berkolar putih serta tangan bergari dan menundukkan muka ketika diiringi anggota polis.

Pendakwaan dibuat susulan kejadian pada jam 11.40 pagi di Jalan Raya Barat, di sini, yang mengorbankan mangsa, Amirul Hafiz Omar, 33, di lokasi kejadian.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun, denda maksimum RM100,000 serta hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya 10 tahun.

Tertuduh sebelum ini direman selama empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan, termasuk di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang memandu sebuah kereta jenis Honda City dipercayai memandu laju dan memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal yang ditunggang mangsa.

Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak dan melambung ke atas sebuah kenderaan lain sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey sebelum ini mengesahkan tertuduh didapati berada di bawah pengaruh alkohol serta positif dadah ketika kejadian.

Mangsa yang bekerja di sebuah gudang dan turut melakukan kerja sambilan sebagai penghantar barang meninggalkan seorang isteri dan tiga anak. Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Batu Kurau, Perak.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *