BANGKOK – Sebuah kapal kargo Thailand yang terkena serangan di Selat Hormuz kini dilaporkan terkandas berhampiran Pulau Qeshm, Iran.
Menurut laporan agensi berita Iran, Tasnim, bahagian belakang kapal Mayuree Naree dilaporkan terkena projektil yang tidak dikenali dan menyebabkan satu letupan berlaku di bilik enjin.
Seramai 20 anak kapal berjaya diselamatkan oleh tentera laut Oman, manakala tiga lagi dilaporkan masih hilang. Serangan yang merosakkan kapal itu berlaku kira-kira dua minggu lalu.
Agensi United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO), yang beroperasi di bawah tentera Britain, melaporkan sebuah kapal dagang terbakar di Selat Hormuz selepas terkena projektil tidak dikenali.
Agensi itu memaklumkan menerima laporan daripada kapal berkenaan bahawa ia terkena objek yang mencetuskan kebakaran di atas kapal.
Insiden berkenaan berlaku kira-kira 11 batu nautika di utara Oman, di laluan perkapalan strategik.
Kapal itu menghantar isyarat kecemasan dan proses pemindahan kru sedang dijalankan ketika itu.
Sementara itu, laman berita perkapalan Splash 247 turut menyiarkan gambar kapal Mayuree Naree Bangkok, yang dikendalikan oleh Precious Shipping.
Menurut laporan itu, kapal berkenaan diserang objek letupan di utara Oman di Selat Hormuz, menyebabkan kebakaran dan memaksa kru meninggalkan kapal.
Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal beberapa jam kemudian.
Pada 24 Mac lalu, Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow, memaklumkan usaha membantu tiga kru Thailand yang hilang, dengan pihak berkuasa Iran dan Oman menjalankan operasi bersama serta berjaya menjejaki kapal itu.
Namun, nasib tiga anak kapal yang hilang itu masih belum diketahui setakat ini. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L