Trump, Modi bincang konflik Asia Barat, Selat Hormuz

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam, mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi mengenai konflik Asia Barat serta isu Selat Hormuz, menurut Duta AS ke India.

Trump dan Modi membincangkan “situasi semasa” di Timur Tengah, termasuk “kepentingan untuk memastikan Selat Hormuz kekal terbuka,” tulis Sergio Gor di laman X, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, Modi dilaporkan berkata, beliau mengadakan “pertukaran pandangan yang bermanfaat” dengan Trump mengenai situasi di Asia Barat.

“India menyokong usaha meredakan ketegangan dan pemulihan keamanan secepat mungkin. Memastikan Selat Hormuz kekal terbuka, selamat dan boleh diakses adalah sangat penting bagi seluruh dunia.

“Kami bersetuju untuk terus berhubung mengenai usaha-usaha ke arah keamanan dan kestabilan,” kata Perdana Menteri India itu menerusi hantaran di X.

Ketegangan serantau di Asia Barat terus memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari lalu, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu berulang kali menyasarkan Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.

Laluan Selat Hormuz juga dilaporkan terjejas teruk sejak awal Mac. Kira-kira 20 juta tong minyak biasanya melalui laluan itu setiap hari dan gangguannya telah menyebabkan kos penghantaran meningkat serta melonjakkan harga minyak global.

Pada Isnin, Trump berkata, beliau telah mengarahkan penangguhan selama lima hari bagi semua serangan ke atas loji janakuasa dan infrastruktur tenaga Iran, dengan alasan wujudnya rundingan yang “sangat baik dan produktif” dengan Tehran.

Bagaimanapun, pegawai-pegawai Iran menafikan sebarang rundingan telah berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini. – Bernama-Anadolu

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *