Oleh: Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay
MALAM itu bukan sekadar gelap. Ia menjadi saksi kepada satu pelarian yang dirancang dengan penuh ketelitian. Setiap langkah Mas Selamat Kastari dari Woodland ke Marsiling bukanlah pergerakan rawak, tetapi hasil pemerhatian dan pengetahuan terhadap laluan yang jarang dilalui orang awam.
Longkang besar dan terowong di kawasan perindustrian menjadi “laluan selamat” yang membolehkannya mengelak daripada penglihatan pihak berkuasa.
Keadaan sekeliling sunyi, hanya bunyi air mengalir dan sesekali deruan angin malam. Dalam suasana itu, Mas Selamat Kastari bergerak tanpa cahaya, berpandukan ingatan dan naluri. Risiko untuk tergelincir, cedera atau dikesan sentiasa menghantui, namun dia terus mara.
Apabila tiba di kawasan muara Sungai India, cabaran sebenar bermula.
Air laut yang gelap, suhu dingin serta arus tidak menentu menjadikan keputusan untuk berenang satu perjudian besar. Enam botol plastik kosong yang diikat di bawah dada bukanlah alat keselamatan yang sempurna. Ia hanya sekadar bantuan asas untuk memastikan dia tidak tenggelam.
Setiap kayuhan tangan terasa berat. Nafasnya tidak menentu. Dalam beberapa detik, dia terpaksa berhenti seketika untuk mengawal tenaga. Namun fikirannya hanya satu, menyeberang.
Dalam kegelapan yang hampir menyeluruh, hanya bayang samar-samar pantai di kejauhan menjadi panduan. Masa seakan bergerak perlahan. Setiap minit terasa panjang.
Akhirnya, apabila kaki menyentuh dasar cetek di pesisir Pantai Stulang Laut, satu fasa pelarian itu berjaya ditempuh.
Namun, itu bukan penamat. Ia hanya permulaan kepada bab yang lebih rumit.
Pagi di Stulang Laut menyaksikan Mas Selamat Kastari dalam keadaan lemah dan keletihan. Dia memilih untuk tidak bergerak jauh. Batu-batu di pesisir menjadi tempat perlindungan sementara. Dalam keadaan berhati-hati, dia memastikan dirinya tidak menarik perhatian sesiapa.
Menjelang tengah hari, selepas pakaian kering, dia kembali bergerak.
Laluan yang dipilih juga bukan kebetulan. Dia mengelak jalan utama, sebaliknya menggunakan laluan belakang berhampiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor. Ironinya, dia bergerak begitu hampir dengan pusat operasi pihak berkuasa tanpa dikesan.
Di Plaza Pelangi, tingkah lakunya kelihatan seperti orang biasa. Namun hakikatnya, setiap gerakan diperhati, bukan untuk membeli, tetapi untuk memastikan tiada sesiapa yang mengekori. Teknik “counter surveillance” ini menunjukkan tahap disiplin dan latihan yang pernah dilaluinya.
Setelah yakin selamat, perjalanan diteruskan ke Ulu Tiram.
Pertemuan dengan Pak Abu bukan sekadar mendapatkan perlindungan. Ia menghidupkan kembali rangkaian lama. Hubungan yang dibina sejak bertahun-tahun dalam jaringan JI menjadi penyelamat utama dalam pelarian ini.
Namun, langkah berjaga-jaga tetap diutamakan.
Hanya beberapa jam selepas tiba, Mas Selamat Kastari dipindahkan ke lokasi lain. Rumah di Kampung Tawakal dipilih kerana kedudukannya yang terpencil dan tidak mencolok mata. Kawasan kampung dengan struktur rumah yang sederhana memberikan kelebihan, mudah bersembunyi, sukar dikesan.
Di sinilah Mas Selamat Kastari “menghilang”.
Hari-hari dalam rumah tersebut berjalan dalam keadaan sunyi, tetapi tegang.
Tingkap sentiasa tertutup. Pintu jarang dibuka. Pergerakan dihadkan. Segala keperluan harian dihantar oleh individu tertentu, tanpa menarik perhatian penduduk sekitar.
Namun, di sebalik kesunyian itu, fikiran Mas Selamat Kastari aktif. Perancangan demi perancangan mula dirangka. Sasaran dikenal pasti. Laluan dianalisis. Risiko dinilai. Semua ini dilakukan dalam ruang sempit, jauh dari dunia luar.
Cadangan untuk menculik warga Singapura di Johor Bahru menunjukkan keberaniannya mengambil risiko tinggi. Rancangan menyerang lokasi strategik pula menggambarkan niat yang lebih besar, bukan sekadar melarikan diri, tetapi kembali aktif.

Pada masa yang sama, idea untuk menyusup ke selatan Filipina membuka kemungkinan dia ingin menyertai atau mendapatkan perlindungan daripada rangkaian lain di rantau tersebut.
Namun, setiap hari yang berlalu juga meningkatkan risiko untuk dikesan. Di pihak berkuasa, tekanan semakin memuncak.
Pelarian Mas Selamat Kastari bukan sahaja mencabar kredibiliti keselamatan, malah berpotensi menghidupkan semula rangkaian yang telah lama dilemahkan. Kerjasama antara Cawangan Khas Malaysia dan ISD Singapura menjadi semakin intensif.
Maklumat lama disemak semula. Rangkaian kenalan dikenal pasti. Bekas tahanan ISA menjadi fokus utama.
Pendekatan HUMINT memainkan peranan penting, menggunakan hubungan manusia, pemerhatian dan maklumat lapangan untuk menjejak pergerakan yang tidak dapat dikesan melalui teknologi semata-mata.
Mesyuarat demi mesyuarat diadakan. Setiap perkembangan dianalisis. Setiap petunjuk kecil diberi perhatian. Dan akhirnya, satu corak mula kelihatan.
Individu yang diperhatikan di Johor Bahru itu tidak pernah gagal menjalankan rutin hariannya. Pembelian makanan dilakukan secara konsisten. Laluan yang sama digunakan. Masa yang hampir seragam.
Tingkah laku ini, walaupun kelihatan biasa, sebenarnya luar biasa dalam konteks risikan. Pasukan Cawangan Khas memahami satu perkara, konsistensi adalah petunjuk.
Apabila pemantauan diperketatkan, mereka mula melihat lebih banyak butiran. Cara individu itu berhati-hati. Cara dia memastikan tidak diekori. Cara dia berinteraksi dengan persekitaran.
Semua ini menguatkan syak. Rumah di Kampung Tawakal menjadi fokus utama.
Pemantauan jarak jauh dilakukan terlebih dahulu. Kemudian diikuti dengan pemantauan rapat menggunakan pasukan kecil yang beroperasi secara bergilir. Mereka memerhati siang dan malam, tanpa menarik perhatian.
Tiada lampu terang. Tiada bunyi bising. Tiada pergerakan jelas. Namun… ada sesuatu.
Kadangkala, kelihatan bayang samar di sebalik tirai. Kadangkala, perubahan kecil pada kedudukan objek di dalam rumah.
Akhirnya, selepas beberapa hari pemerhatian teliti, satu kesimpulan dicapai. Rumah itu tidak kosong. Ada seseorang di dalamnya.
Namun, dalam dunia risikan, kepastian bukan sesuatu yang mudah diperoleh. Adakah individu itu benar-benar Mas Selamat Kastari? Atau sekadar umpan untuk mengelirukan pihak berkuasa?
Atau mungkin lebih berbahaya. Adakah terdapat lebih daripada seorang penghuni di dalam rumah tersebut?
Keputusan seterusnya bakal menentukan segalanya. Dan, satu kesilapan kecil boleh mengubah keseluruhan operasi.
Bersambung…
Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay ialah Timbalan Ketua Polis Negara
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L