Oleh: Abd Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) telah mengadakan majlis berbuka puasa melibatkan warga sekolah yang terdiri daripada guru, kakitangan dan pelajar, di sini, kelmarin.
Majlis bermula seawal jam 6 petang dengan pendaftaran, diikuti tazkirah serta bacaan tahlil sebagai pengisian rohani sebelum berbuka puasa.
Selepas berbuka, para hadirin menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, diikuti solat Isyak dan solat sunat Tarawih yang berlangsung dalam suasana penuh khusyuk.
Program tersebut merupakan anjuran Unit Badan Dakwah dengan kerjasama Puteri Islam MMRP, yang bertujuan menyemarakkan sambutan Ramadan dalam kalangan warga sekolah.
Menurut Setiausaha Badan Dakwah, Aiman Shaari, majlis berbuka puasa seperti ini lazimnya diadakan setiap tahun hasil sumbangan warga sekolah.

“Biasanya program ini diadakan pada pertengahan Ramadan, namun pada tahun ini ia dianjurkan pada penghujung Ramadan.
“Majlis sebegini mampu mengeratkan hubungan silaturahim di antara guru, kakitangan dan pelajar, selain memupuk ukhuwah sesama pelajar,” katanya ketika ditemui.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa Badan Dakwah, Puteri Islam serta warga MMRP atas kerjasama yang diberikan sehingga majlis tersebut berjaya dilaksanakan dengan lancar.
Sementara itu, bilal Tarawih, Nasrat Muazzam Mohd Nasir, 16, menyifatkan program tersebut sebagai peluang berharga untuk meningkatkan keyakinan diri.
“Program ini memberi peluang kepada saya untuk berlatih dan memberanikan diri berselawat di hadapan jemaah yang terdiri daripada pentadbir, guru, kakitangan dan pelajar,” ujarnya.
Solat sunat Tarawih tersebut telah diimamkan Wennorlie Mohd Noor, 18, merupakan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada penghujung tahun ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L