KUALA LUMPUR – Advancecon Holdings Bhd. telah melantik bekas Ketua Polis Negara (KPN) ke-14, Tan Sri Razarudin Husain sebagai pengerusinya bagi menggantikan Yeoh Chong Keat berkuat kuasa hari ini.
Advancecon berkata, Yeoh telah meletak jawatan atas sebab kepentingan peribadi.
Razarudin membawa hampir empat dekad perkhidmatan cemerlang dalam keselamatan negara dan penguatkuasaan undang-undang.
“Pengalaman luas beliau dalam kepimpinan negara, tadbir urus institusi dan pengawasan strategik dijangka membawa perspektif berharga kepada lembaga Advancecon ketika kumpulan itu terus memperkukuh tadbir urus korporat dan rangka kerja pengurusan risiko,” kata Pengarah Urusan Advancecon, Phum Boon Eng.

Turut menyertai lembaga sebagai pengarah bebas ialah bekas ketua setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee dan Wee Chuen Lii, seorang profesional kewangan berpengalaman.
Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Boon Eng, berkata gabungan pengalaman ketiga-tiga mereka merentasi kepimpinan negara, dasar awam, tadbir urus tenaga dan kewangan korporat akan mengukuhkan kedalaman dan kepelbagaian kepakaran dalam lembaga syarikat dengan ketara.
“Kami percaya pelantikan ini akan mengukuhkan lagi asas kepimpinan Kumpulan ketika kami mengejar pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya.