PUTRAJAYA – Keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan semakin bertambah baik dan menunjukkan perkembangan pemulihan yang positif selepas menjalani rawatan sejak awal tahun ini.
Perkara itu dimaklumkan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang juga anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berkata, proses pemulihan bapanya berjalan seperti dijangka oleh keluarga.
Menurut beliau, keadaan Dr. Mahathir kini semakin stabil walaupun proses pemulihan mengambil sedikit masa.
“Tun M sekarang semakin baik dan semakin pulih. Proses itu memang mengambil masa dan perkara tersebut sudah dijangka oleh keluarga sejak awal lagi,” katanya.
Mukhriz berkata, Dr. Mahathir juga telah dibenarkan pulang ke kediamannya selepas menjalani rawatan, namun masih perlu menjalani pemeriksaan serta rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau pada masa sama optimis bapanya akan kembali aktif dalam aktiviti harian serta kegiatan politik selepas melalui tempoh pemulihan yang mencukupi.
“Saya jangka mungkin dalam tempoh beberapa bulan lagi beliau akan kembali aktif seperti biasa,” ujarnya.
Pada Januari lalu, Dr. Mahathir dilaporkan mengalami patah tulang pinggul kanan selepas terjatuh di kediamannya pada 6 Januari, sebelum menerima rawatan lanjut di Institut Jantung Negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L