SUNGAI PETANI – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia–Thailand di Bukit Kayu Hitam menjadi individu terbaharu ditahan bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap komander sempadan bulan lalu.
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, anggota berpangkat koperal berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika sedang bertugas di kawasan sempadan berkenaan pada 5 Mac lalu.
Menurutnya, anggota yang bertugas di bahagian risik tersebut turut didapati positif dadah jenis ketamin selepas ujian saringan dijalankan. Suspek kemudian direman selama tujuh hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Suspek ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes tembakan tersebut. Hasil siasatan awal mendapati dia mengenali serta mempunyai hubungan rapat dengan ahli sindiket penyeludupan dikenali sebagai Geng Pak Su.
“Kita juga percaya suspek pernah mengambil dadah bersama ahli sindiket itu, dan perkara tersebut terbukti apabila ujian saringan mendapati dia positif ketamin,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, hari ini.
Adzli berkata, siasatan turut mendapati suspek dipercayai berada di sekitar lokasi kejadian bersama seorang ahli kumpulan tersebut kira-kira empat hingga lima jam sebelum insiden tembakan berlaku.
“Kita akan menyiasat setiap maklumat yang diperoleh dan tidak akan berkompromi, sama ada individu itu anggota polis atau pegawai agensi sempadan.
“Penglibatan dalam penyalahgunaan dadah boleh membawa kepada pelanggaran undang-undang, hilang integriti dan disiplin, selain membuka ruang kepada rasuah. Sebab itu tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.
Beliau berkata, setakat ini tiada pengakuan diperoleh daripada anggota terbabit mahupun 10 lagi suspek yang dipercayai ahli Geng Pak Su yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, anggota tersebut dijangka didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dalam masa terdekat. Difahamkan suspek telah bertugas di kawasan sempadan itu kira-kira dua tahun.
Pada 25 Februari lalu, media melaporkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, Mohd. Nasaruddin M. Nasir, nyaris terkena tembakan dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi.
Kejadian berlaku ketika beliau dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat Subuh dengan memandu kenderaan utiliti sukan Proton X70.
Mangsa bagaimanapun terselamat apabila dua das tembakan yang dilepaskan oleh seorang daripada dua suspek yang menaiki motosikal tersasar. Susulan kejadian itu, polis menahan seramai 11 individu di sekitar Bukit Kayu Hitam bagi membantu siasatan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L