Konflik Asia Barat: Presiden Iran mohon maaf atas serangan ke negara jiran

DUBAI – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memohon maaf kepada negara-negara jiran susulan serangan yang dilancarkan Iran, sambil menegaskan bahawa Tehran akan menghentikan tindakan tersebut buat masa ini.

Bagaimanapun, beberapa negara Teluk memaklumkan bahawa mereka berjaya memintas beberapa lagi peluru berpandu balistik dan dron yang dilancarkan dari Iran pada Sabtu, ketika konflik di rantau itu memasuki minggu kedua.

Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen negara, Pezeshkian berkata beliau memohon maaf kepada negara-negara jiran yang terjejas akibat serangan tersebut.

Menurutnya, pihak tentera Iran tidak sepatutnya lagi menyerang negara jiran atau melancarkan peluru berpandu ke arah mereka, kecuali sekiranya Iran terlebih dahulu diserang oleh negara-negara berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa isu tersebut seharusnya diselesaikan melalui pendekatan diplomasi.

Pezeshkian menjelaskan bahawa majlis kepimpinan sementara Iran yang terdiri daripada tiga anggota telah meluluskan keputusan untuk menggantung serangan terhadap negara jiran, kecuali jika serangan terhadap Iran datang dari negara terbabit.

Katanya, majlis tersebut turut berhubung dengan pihak angkatan tentera mengenai siri serangan yang melibatkan ratusan peluru berpandu dan dron.

Pada Sabtu, Iran dilaporkan melancarkan beberapa serangan ke atas negara Teluk termasuk Qatar, Bahrain, Saudi Arabia dan United Arab Emirates.

Pejabat Pezeshkian kemudian menegaskan bahawa tentera Iran tetap akan bertindak balas secara tegas sekiranya sebarang serangan terhadap Iran dilancarkan dari pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau berkenaan.

Jurucakap angkatan tentera Iran, Abolfazl Shekarchi, turut mengulangi kenyataan itu dengan menegaskan bahawa Iran tidak akan mensasarkan negara jiran selagi wilayah mereka tidak digunakan untuk menyerang Iran.

Beberapa jam selepas ucapan Pezeshkian disiarkan, Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) mendakwa dron mereka telah menyerang pusat operasi udara AS di Al Dhafra Air Base berhampiran Abu Dhabi, ibu negara United Arab Emirates.

UAE pula memaklumkan bahawa Iran telah melancarkan 16 peluru berpandu balistik dan 121 dron ke arah negara itu pada Sabtu, namun hanya dua dron berjaya mengenai sasaran.

Dalam masa yang sama, Pezeshkian menolak gesaan Presiden Donald Trump yang meminta Iran menyerah tanpa syarat.

“Itu hanyalah mimpi yang boleh mereka bawa ke liang lahad,” katanya.

Tidak lama selepas kenyataan tersebut, Trump menerusi hantaran di media sosial memberi amaran bahawa lebih ramai pegawai Iran akan menjadi sasaran dan menulis bahawa Iran akan diserang dengan lebih hebat. – Agensi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *