TEHRAN: Iran menyasarkan aset Amerika Syarikat (AS) di beberapa negara Arab di Teluk sebagai tindak balas kepada serangan besar-besaran oleh AS dan Israel ke atas negara itu.
Kerajaan Iran mengesahkan serangan ke atas beberapa sasaran termasuk Bahrain, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menempatkan pangkalan udara dengan aset AS.
Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata, semua sasaran tentera Israel dan AS di Asia Barat telah diserang dengan peluru berpandu Iran yang kuat.
“Operasi ini akan diteruskan sehingga musuh kalah sepenuhnya,” kata IRGC dan mengesahkan semua aset AS di rantau ini dianggap sasaran sah bagi tentera Iran.
Timbalan Menteri Luar Iran, Hamid Ghanbari, memberitahu Al Jazeera bahawa Iran berhak mempertahankan diri dan menyesal atas sebarang kehilangan nyawa akibat ketegangan ketenteraan kini.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pula menulis kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres bahawa Iran akan terus menggunakan hak mempertahankan diri sehingga serangan terhadap negara itu berhenti sepenuhnya.
Qatar, Kuwait, Bahrain dan UAE menutup ruang udara sementara dan mengecam serangan Iran ke atas wilayah mereka.
Kapal-kapal di Teluk turut menerima notis penutupan Selat Hormuz, laluan utama eksport minyak yang menghubungkan negara pengeluar minyak besar seperti Arab Saudi, Iran, Iraq dan UAE dengan Teluk Oman dan Lautan Hindi. – AGENSI