KUALA LUMPUR – Pencalonan Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai “poster boy” Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disifatkan sebagai bukti konsep kepimpinan ulama dalam parti itu semakin luntur.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sekiranya prinsip kepimpinan ulama benar-benar menjadi tunjang perjuangan Pas, Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang sepatutnya diangkat sebagai wajah utama gabungan tersebut.
Menurut beliau, perkembangan itu mencerminkan perubahan haluan politik Pas yang didakwa lebih mengutamakan strategi politik berbanding prinsip perjuangan Islam.
Katanya, parti itu juga dilihat kerap mengubah pendirian mengikut keperluan politik semasa, termasuk dalam isu kerjasama dengan UMNO serta pelaksanaan hudud dan RUU 355.
Muhammad Faiz turut menegaskan, Pas tidak lagi boleh mendakwa sebagai satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam, sambil menyifatkan tuduhan terhadap Amanah sebagai parti liberal atau sekular sebagai tidak berasas.
Beliau mengingatkan, Pas juga pernah bekerjasama dengan DAP dan menyokong kepimpinan parti itu di Pulau Pinang pada tahun 2008 dan 2013.
Mengulas aspek pentadbiran negeri, beliau berkata, kegagalan Pas dan PN mentadbir dengan berkesan bukan berpunca daripada perbezaan politik antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
Sebagai perbandingan, beliau merujuk kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Selangor dan Pulau Pinang yang menurutnya menunjukkan prestasi baik walaupun tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan ketika itu.
Berdasarkan data 2024, katanya, Selangor dan Pulau Pinang menyumbang 33.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala empat negeri di bawah pentadbiran Pas dan PN menyumbang kurang daripada lapan peratus, dengan Terengganu hanya menyumbang 2.4 peratus.
Kelantan pula mencatatkan prestasi terendah dengan sumbangan 1.7 peratus kepada KDNK negara pada 2024, walaupun merupakan negeri keenam terbesar. Data setakat 31 Disember 2025 juga menunjukkan Kelantan, Terengganu dan Kedah menyumbang lebih separuh kes kemiskinan di Semenanjung Malaysia.
Sehubungan itu, Faiz berkata rakyat perlu menilai keupayaan sesebuah kerajaan berdasarkan prestasi ekonomi, termasuk sumbangan kepada KDNK.
Beliau menambah, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ekonomi negara kini berada di landasan lebih baik, sekali gus membolehkan pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan rakyat serta usaha menstabilkan harga makanan dan mengurangkan kos sara hidup.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L