Marzuki Seru Perkukuh Perpaduan Sempena Tahun Baru Cina 2026

PUTRAJAYA – Datuk Wira Marzuki Yahya hari ini menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baru Cina 2026 kepada seluruh masyarakat Tionghoa yang menyambut perayaan tersebut di seluruh negara.

Menurut Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu itu, sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini yang bertepatan dengan Tahun Kuda membawa simbolik cukup bermakna, khususnya dari segi semangat, keberanian, ketekunan dan kemajuan diri.

Katanya, Kuda dalam tradisi zodiak Cina melambangkan tenaga yang kuat, daya tahan serta iltizam untuk terus bergerak maju mencapai kejayaan.

“Sempena Tahun Kuda ini, saya berharap seluruh rakyat dapat mengekalkan semangat perpaduan, saling menghormati dan bekerjasama dalam membina masa depan yang lebih makmur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan, kepelbagaian kaum, budaya dan agama di negara ini merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara.

Perayaan seperti Tahun Baru Cina, menurutnya, bukan sahaja signifikan kepada masyarakat Tionghoa, malah menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan antara kaum melalui amalan kunjung-mengunjung dan rumah terbuka.

Tambah beliau, semangat kebersamaan yang dipupuk sejak sekian lama harus terus diperkasakan demi memastikan kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

Marzuki turut berharap agar Tahun Kuda membawa limpahan rezeki, kesihatan yang baik serta kejayaan dalam setiap usaha kepada seluruh rakyat.

“Gong Xi Fa Cai dan semoga tahun ini membawa kebahagiaan serta kemakmuran buat kita semua,” ujarnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *