KUALA LUMPUR – Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sedang merangka peraturan baharu bagi memperkukuh larangan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berdaftar asing di stesen minyak seluruh negara.
Pengerusinya, Mohd Khair Ngadiron berkata, langkah itu penting bagi memastikan subsidi petrol RON95 yang disediakan kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, selaras dengan prinsip keadilan sosial serta perlindungan pengguna tempatan.
Katanya, MPPN mengambil maklum penjelasan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali bahawa peruntukan sedia ada di bawah Peraturan 12A ketika ini hanya membolehkan tindakan diambil terhadap pihak penjual, iaitu pengusaha stesen minyak dan tidak merangkumi pembeli.
Sehubungan itu, kata beliau, MPPN berpandangan cadangan pengenalan peruntukan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang meliputi larangan terhadap kedua-dua aktiviti penjualan dan pembelian adalah langkah wajar bagi memperkukuh penguatkuasaan serta membendung ketirisan subsidi.
“Kita menegaskan penyaluran subsidi tanpa kawalan berkesan boleh membuka ruang kepada ketirisan sumber awam, penyalahgunaan oleh pihak yang tidak layak serta meningkatkan beban fiskal negara yang akhirnya menjejaskan kepentingan pengguna domestik.
“Langkah penguatkuasaan lebih menyeluruh itu juga dilihat sebagai usaha strategik bagi memastikan pasaran bekalan petrol negara kekal adil, telus dan mampan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Khair berkata, sebagai badan penasihat utama kerajaan dalam hal ehwal kepenggunaan, MPPN memaklumkan komitmennya untuk terus menyokong dasar dan inisiatif yang melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh tadbir urus subsidi serta meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.
MPPN kata beliau, turut menggesa semua pihak, termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna agar memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L