KUALA LUMPUR – Seorang bekas ketua perisikan pertahanan dan seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara beberapa individu yang akan dihadapkan ke mahkamah pagi ini bagi pertuduhan rasuah.
Menurut sumber, pertuduhan terhadap semua tertuduh akan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada sebelah pagi di beberapa mahkamah berasingan di ibu negara serta Seremban, Negeri Sembilan.
Semakan sistem mahkamah mendapati bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias, dijadualkan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di hadapan Hakim Suzana Hussin pada jam 9 pagi.
Pada masa sama, seorang pegawai kanan ATM turut dihadapkan di mahkamah sama di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Dalam perkembangan berkaitan, dua individu yang ditahan menerusi Op Nature, masing-masing seorang warga asing dan seorang individu bergelar Datuk akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban.
Seorang lagi penjawat awam yang ditahan dalam Op Pump pula dijadual dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Sebelum ini, SPRM melancarkan Op Nature secara serentak melalui SPRM Selangor dan SPRM Negeri Sembilan di Klang dan Nilai pada 20 Januari lalu.
Operasi itu menyasarkan kegiatan rasuah melibatkan beberapa individu berkepentingan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Op Pump pula mendedahkan penahanan 37 pegawai agensi penguat kuasa yang disyaki bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi “counter setting” atau laluan kaunter khas.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
