Jerawat, Mitos dan Fakta: 10 Panduan Mudah untuk Kulit Lebih Bersih

Oleh: Dr. Ummu Aiman Faisal

KALAU sebut tentang jerawat, ramai yang terus terbayang wajah remaja sedang melalui fasa akil baligh. Hakikatnya, jerawat bukan sekadar “masalah budak sekolah”, ia boleh menjejaskan keyakinan diri, hubungan sosial dan emosi sesiapa sahaja yang mengalaminya tidak kira umur.

Dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 24 tahun, jerawat memang paling kerap berlaku, namun faktor penyebabnya jauh lebih kompleks daripada sekadar “kulit berminyak”.

Perubahan hormon, kitaran haid (terutamanya fasa luteal), kehamilan dan masalah kesihatan seperti polycystic ovarian syndrome (PCOS) semuanya boleh mencetuskan jerawat.

Tekanan emosi, sejarah keluarga, ubat tertentu serta pengambilan makanan manis dan tenusu yang berlebihan juga memainkan peranan.

Dan ya, rutin penjagaan kulit yang kurang tepat serta penggunaan kosmetik yang tidak sesuai turut menyumbang kepada masalah ini.

Bagaimana Sebenarnya Jerawat Terjadi?

Jerawat bermula apabila unit pilosebaceous iaitu liang kulit yang mengandungi folikel rambut dan kelenjar minyak mengalami radang.

Ada empat proses utama yang “berpakat” menyebabkan jerawat muncul:

  • Penghasilan sebum berlebihan
  • Liang pori tersumbat oleh sel kulit mati
  • Pembiakan bakteria Cutibacterium acnes
  • Keradangan pada liang yang tersumbat

Hasilnya? Muncullah pelbagai jenis jerawat seperti blackhead, whitehead (jerawat nasi), bintik merah, bintik bernanah dan yang paling digeruni, jerawat batu atau nodulosistik.

Tahap keterukan pula dinilai berdasarkan jenis jerawat, kawasan yang terlibat dan tahap keradangan.

Mitos Tentang Jerawat Yang Ramai Masih Percaya

1. “Jerawat hanya untuk remaja.”

Tidak benar. Ramai wanita berusia 20–40 tahun juga mengalami jerawat.

2. “Cuci muka banyak kali boleh hilangkan jerawat.”

Sebenarnya, mencuci terlalu kerap boleh merengsakan kulit dan memburukkan keadaan. Dua kali sehari sudah memadai.

3. “Kacang dan makanan berminyak punca jerawat.”

Tiada bukti kukuh. Tetapi makanan manis dan produk tenusu berlebihan memang boleh memburukkan jerawat.

4. “Sapu ubat gigi, jerawat cepat kecut.”

Ini mitos popular, tetapi ubat gigi boleh menyebabkan iritasi dan luka.

5. “Picit jerawat cepat hilang.”

Memicit hanya meningkatkan risiko jangkitan dan parut.

10 Tip Ringkas Untuk Kulit Lebih Sihat

  1. Cuci muka dua kali sehari dengan pencuci yang sesuai.
  2. Jangan tidur dengan mekap.
  3. Kurangkan penggunaan skrub muka.
  4. Gunakan pelembap selepas mencuci muka.
  5. Pakai sunscreen setiap hari.
  6. Pilih produk non-comedogenic.
  7. Amalkan diet seimbang, kurangkan gula dan makanan ultraproses.
  8. Pastikan rambut bersih dan elakkan produk rambut terkena muka.
  9. Jangan picit jerawat.

Jika jerawat teruk atau berpanjangan, dapatkan rawatan awal daripada pakar kulit kerana rawatan yang berkesan memang tersedia.

Dr. Ummu Aiman Faisal adalah Pakar Perubatan Dalaman & Dermatologi, Klinik Pakar Kesihatan USIM, USIM Healthcare Sdn. Bhd.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *