NILAI – Ketagihan skrin sering dikaitkan dengan kanak-kanak, namun golongan remaja dan dewasa turut berdepan kesan ketara akibat penggunaan media sosial yang berlebihan.
Dalam era digital yang serba pantas, platform seperti TikTok, Instagram dan X menjadi ruang utama untuk berhubung, berkongsi dan membina identiti diri.
Namun, di sebalik keseronokan ‘scrolling’ dan ‘posting’, wujud kebimbangan mengenai bagaimana media sosial membentuk cara remaja bertutur dan berinteraksi dalam kehidupan sebenar.
Menurut Terapis Pertuturan, USIM-PNB Rehabilitation & Therapy Centre, Farah Sharizah Azri, perubahan ini bukan sekadar fenomena budaya, tetapi memberi implikasi langsung terhadap perkembangan komunikasi remaja.
Katanya, penggunaan emoji sebagai pengganti emosi, singkatan sebagai ganti struktur ayat serta slanga yang semakin dominan menjadikan gaya bahasa remaja lebih pendek, padat dan kurang terikat kepada tatabahasa.
“Walaupun sesuai untuk komunikasi pantas dalam talian, trend ini dikhuatiri menjejaskan keupayaan mereka bertutur secara formal, menulis dengan baik dan menyusun idea secara teratur.
“Pendedahan kepada bahasa yang pelbagai dan betul masih penting, terutama bagi persediaan ke dunia profesional dan pengurusan,” katanya.
Menurut beliau, generasi hari ini lebih selesa menaip daripada bercakap, malah kekurangan interaksi bersemuka boleh menjejaskan kemahiran asas komunikasi sosial seperti membaca mimik wajah, memahami bahasa badan, menjaga giliran bercakap serta menilai nada dan konteks pertuturan.
“Remaja yang terlalu bergantung kepada komunikasi digital berisiko menjadi lebih pasif, gugup atau tidak yakin ketika berdepan situasi sosial sebenar.
“Media sosial turut menjadi penanda aras baharu dalam pembentukan personaliti dan gaya komunikasi remaja.
“Ramai menjadikan influencer dan pencipta kandungan sebagai rujukan, sekali gus mewujudkan budaya mengejar perhatian, pengikut dan pengaruh sebagai ukuran kejayaan. Namun, tidak semua mampu mencapai penerimaan positif,” katanya.
Kata Farah Sharizah, kecaman, tekanan sosial dan ancaman buli siber boleh menjejaskan keyakinan diri serta kesejahteraan emosi remaja.
Ujarnya, walaupun sering dipersalahkan, media sosial juga mempunyai sisi positif seperti boleh menjadi platform untuk ekspresi diri secara kreatif, latihan komunikasi melalui video, podcast dan kandungan pendidikan serta menghubungkan remaja dengan komuniti yang menyokong dan memahami
Dengan bimbingan yang betul, kata beliau lagi, media sosial mampu membantu remaja mengasah keberanian, keyakinan dan kemahiran komunikasi mereka.
Beliau turut menggesa semua pihak memainkan peranan aktif dalam membimbing remaja menggunakan media sosial secara sihat.
“Pendidikan literasi digital, pemantauan penggunaan skrin, serta galakan kepada interaksi bersemuka perlu diberi perhatian,” katanya.
Namun, jelasnya, media sosial bukan musuh, tetapi alat yang bergantung kepada cara ia digunakan.
“Dengan sokongan dan pemahaman berterusan, generasi muda boleh dibentuk menjadi individu yang bukan sahaja celik digital, tetapi juga cekap bertutur dan berinteraksi dalam dunia maya serta realiti,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001