MACHANG – Felcra Berhad menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya badan itu menjalankan siasatan berkaitan perolehan pajakan ladang sawit di Sabah.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, setakat ini beliau belum dihubungi SPRM atau diminta memberikan sebarang penjelasan, namun percaya sebarang siasatan akan dilakukan secara profesional mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.
Menurut beliau, SPRM merupakan sebuah institusi yang mempunyai tahap integriti tinggi dan setiap isu timbul lazimnya akan diteliti terlebih dahulu di peringkat pengurusan.
Katanya, semua keputusan berkaitan pelaburan Felcra dibuat secara kolektif oleh Lembaga Pengarah syarikat.
“Sekiranya terdapat perkara yang menimbulkan persoalan atau keraguan, sudah tentu pihak terlibat akan dipanggil untuk memberi penjelasan kepada SPRM,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI Bukit Tiu, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan menjelaskan, penambahan aset dalam bentuk ladang merupakan sebahagian daripada pelan Transformasi 1.0 yang dipersetujui pada 2022 bagi menjamin kelangsungan operasi jangka panjang Felcra.
Beliau berkata, kali terakhir syarikat itu membuat perolehan ladang sekitar tahun 2013.
Namun begitu, katanya, kekangan kewangan menyebabkan Felcra perlu lebih berhati-hati membuat pelaburan berskala besar memandangkan kedudukan kewangan syarikat masih dalam fasa pemulihan.
Beliau turut menegaskan, semua perolehan ladang tidak melibatkan pinjaman bank atau dana kerajaan, sebaliknya dibiayai menggunakan sumber dalaman serta perbelanjaan modal hasil keuntungan aktiviti komersial Felcra.
Selain itu, setiap pembelian dibuat berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), malah kebanyakannya diperoleh pada harga lebih rendah daripada nilai ditetapkan.
Sebelum ini, pada 5 Disember, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan di Dewan Rakyat mengenai status siasatan SPRM susulan Laporan Ketua Audit Negara berhubung isu tadbir urus Felcra.
Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 yang dibentangkan Julai lalu mendedahkan pelbagai kelemahan dan ketirisan melibatkan kementerian, jabatan, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan dengan nilai keseluruhan projek yang diaudit mencecah RM48.87 bilion.
Top of Form
Bottom of Form
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001