GOMBAK – Kejadian tanah runtuh yang berlaku selepas hujan lebat di Kampung Orang Asli Batu kelmarin membawa kepada pemindahan 47 penduduk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dalam salah satu insiden paling serius melibatkan komuniti itu sejak lebih tiga dekad penubuhannya.
Salah seorang mangsa, Halimah Yunos, 71, berdepan detik mencemaskan apabila dinding dapurnya tiba-tiba runtuh dan sebahagian struktur belakang rumah mula teranjak ke arah tebing.
Kejadian sekitar jam 7 malam itu berpunca daripada pergerakan tanah di laluan air yang melalui kampung berkenaan, selepas hujan lebat berpanjangan sejak petang.
“Apabila saya nampak tanah di bahagian dapur sudah terhakis, jantung saya berdegup laju. Saya terus panggil anak yang tinggal di rumah sebelah untuk bantu selamatkan barang-barang penting dan kami pindahkan semuanya ke bahagian tengah rumah,” katanya ketika menceritakan situasi panik itu di PPS Dewan Serbaguna Orang Asli Batu 12.
Dia turut memaklumkan, penduduk telah mula menyedari tanda-tanda pergerakan tanah sejak 25 November lalu, namun kerosakan yang berlaku pada malam kejadian mengesahkan kediamannya kini tidak lagi selamat untuk dihuni.
Seorang lagi penduduk, Mahadil Ali, 55, menyifatkan kejadian itu sebagai sejarah hitam kerana ia merupakan insiden tanah runtuh pertama sejak penempatan itu dibuka pada 1991.
“Di atas bukit, lebih kurang 200 meter dari kampung kami, ada projek pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Air dan sisa binaan dari kawasan pembinaan itu dialirkan ke laluan air di kampung ini. Kami rasa itu antara faktor menyebabkan tanah jadi lemah,” katanya.
Dia tidak menolak kemungkinan berpindah ke lokasi baharu jika itu keputusan dipersetujui pihak berwajib.
Wakil Pejabat Ahli Parlimen Gombak, Hazmimi Johar berkata, proses pemindahan lapan keluarga pada malam kejadian dilakukan segera Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Pegawai Daerah Gombak dan pasukan penyelamat.
“Keselamatan penduduk adalah keutamaan kami. Buat masa ini, mereka akan terus ditempatkan di PPS sehingga lokasi penempatan lebih stabil dan sesuai dikenal pasti,” jelasnya.
Bantuan makanan dan keperluan asas turut disalurkan secara berterusan bagi memastikan kebajikan mangsa terjamin.
Kampung Orang Asli Batu kini dihuni kira-kira 1,400 penduduk daripada 290 buah rumah, menjadikan insiden tanah runtuh ini antara yang memberi impak besar kepada keseluruhan komuniti.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.10 malam, hanya beberapa minit selepas kejadian dilaporkan.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang terus ke lokasi dan mendapati tebing setinggi kira-kira 7.6 meter telah runtuh, melibatkan kawasan seluas 100 kaki persegi. Akibatnya, lapan rumah rosak dan berada dalam keadaan berisiko,” katanya.
Beliau menjelaskan, walaupun kerosakan fizikal agak serius, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan, sesuatu yang disifatkan sebagai sangat melegakan memandangkan skala runtuhan.
Walaupun kini berada di PPS, banyak keluarga masih bimbang mengenai keselamatan kediaman mereka yang ditinggalkan dan ada antara mereka mula memikirkan masa depan jangka panjang, terutama jika kawasan itu tidak lagi sesuai didiami.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001