Seni Seramik: Balai Seni Negara Persembahkan Pameran Spatial Creative – Ceramic Zone

KUALA LUMPUR – Dunia seni seramik tempatan terus berkembang apabila Balai Seni Negara mempersembahkan Pameran Spatial Creative – Ceramic Zone (SCCZ), sebuah pameran eksklusif yang menampilkan rangkaian karya seramik kontemporari oleh seniman tempatan.

Menerusi pameran selama lima bulan bermula 28 November lalu sehingga 30 April tahun depan, orang ramai berpeluang menyaksikan keunikan seni seramik yang dipamerkan di Aras 1 Balai Seni Negara.

Pameran SCCZ menghimpunkan 39 karya seramik yang merangkumi pelbagai pendekatan, daripada karya seramik artistik, pottery, tableware sehingga arca eksperimental.

Setiap karya bukan sahaja memperlihatkan kepelbagaian teknik, malah mencerminkan cara para seniman menafsir hubungan antara material tanah, bentuk dan ruang.

Menurut kenyataan Balai Seni Negara, semua karya itu dihasilkan melalui program Residensi SCCZ yang telah berlangsung dari 22 hingga 30 Oktober lalu.

Residensi ini dirangka sebagai program intensif, memberi peluang kepada seniman untuk berkarya di studio profesional sambil menerima bimbingan rapat daripada artis dan pakar seramik yang sudah lama berkecimpung dalam bidang tersebut.

Program residensi itu menekankan gabungan antara latihan praktikal, eksplorasi teknikal dan perbincangan kritikal dengan peserta bukan sahaja diajar memahami karakteristik tanah liat dari sudut fungsi dan sifatnya, tetapi juga bagaimana elemen tersebut boleh diterjemahkan ke dalam bentuk yang lebih kompleks dan kontemporari.

“Melalui dialog berterusan antara peserta dengan mentor, mereka dapat memahami lebih dalam hubungan antara bentuk, fungsi dan ruang dalam seni seramik.

“Pendekatan ini membolehkan mereka menghasilkan karya baharu yang lebih matang dari segi konsep dan kemahiran,” menurut Balai Seni Negara dalam kenyataannya.

Selain itu, program ini turut memperluaskan jaringan profesional antara seniman muda dan berpengalaman, sekali gus menyemai suasana kolaboratif dalam komuniti seramik tempatan.

Residensi SCCZ dijalankan di tiga lokasi berbeza yang terkenal sebagai pusat penghasilan seramik iaitu BK Art Studio, Kuala Kangsar, Perak; Ilham Ceramic Studio, Langkawi, Kedah; dan Sari Chempaka Art Village, Karak, Pahang.

Setiap lokasi menawarkan persekitaran kerja unik iaitu dari studio tradisional hingga ruang kontemporari dilengkapi peralatan moden.

Kerjasama strategik antara Balai Seni Negara dan studio-studio ini membuka peluang kepada seniman untuk mengalami sendiri proses pembuatan seramik dalam suasana profesional.

Sebanyak 10 seniman visual dipilih untuk menyertai residensi tersebut, melibatkan pelbagai latar belakang dan gaya berkarya. Mereka ialah Amy Nazira, Sabri Idrus, Saiful Razman, S. Amin Shahab, Bone Alfie, Shafiq Nordin, Amer01, Khairul Izzuddin, Kenji Chai dan Tan Kai Sheuan.

Gabungan seniman yang mewakili generasi dan disiplin berbeza ini menjadikan residensi lebih dinamik, malah ada yang datang daripada latar seni visual tradisional, ada yang terkenal dengan seni jalanan, dan ada yang aktif dalam seni konseptual, menjadikan pameran ini kaya dengan interpretasi pelbagai.

Balai Seni Negara mengharapkan SCCZ menjadi salah satu pemangkin penting dalam memajukan bidang seni seramik negara dan usaha sedemikian bukan sahaja menambah variasi dalam ekosistem seni Malaysia, tetapi turut menonjolkan seramik sebagai medium yang sarat potensi, sesuai untuk diterokai dalam konteks seni kontemporari.

“Melalui insiatif seperti ini, seni seramik dapat terus berkembang dan diiktiraf sebagai cabang seni yang sama penting dengan seni visual lain,” jelas kenyataan tersebut.

Sebagai pameran sokongan kepada residensi dan pameran utama SCCZ, Balai Seni Negara turut membuka Pameran Asal Tanah di Galeri 2B bermula 5 Disember hingga 30 April.

Pameran ini menampilkan sebanyak 83 karya daripada seniman jemputan serta Koleksi Balai Seni Negara, yang memperlihatkan kepelbagaian pendekatan dalam seni berasaskan tanah.

Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai pameran, senarai karya atau program berkaitan boleh melayari laman sesawang rasmi Balai Seni Negara serta platform media sosial mereka.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *