TEHRAN – Pengawal Revolusi Iran merampas sebuah kapal yang mengibarkan bendera Eswatini dan membawa bahan bakar diseludup, lapor media kerajaan itu semalam.
Pasukan Iran secara rutin menumpukan operasi ke atas kapal tangki yang mengangkut bahan bakar secara haram di Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas asli cecair global.
“Sebuah kapal yang membawa 350,000 liter bahan bakar diseludup dan beroperasi di bawah bendera Eswatini telah dirampas dan dibawa ke Bushehr, di bahagian barat daya.
“Terdapat 13 anak kapal di atas kapal, semuanya dari negara jiran dan India,” kata seorang komander tempatan Pengawal Revolusi.
Namun, Kerajaan Eswatini menafikan sebarang pengetahuan mengenai kejadian itu dan berkata tiada kapal sah yang dibenarkan menggunakan bendera mereka sekarang.
“Kami tiada kaitan dengan kapal yang dirampas di Iran dan menolak sebarang cubaan mengaitkan negara kami dengan jenayah di laut,” menurut kenyataan rasmi kerajaan.
Awal bulan ini, Pengawal Revolusi yang merupakan sayap ideologi tentera republik Islam mengesahkan mereka merampas sebuah kapal tangki minyak berkibarkan bendera Kepulauan Marshall di Teluk.
Syarikat yang mengurus kapal itu kemudian berkata, Iran sudah melepaskan kapal tangki berkenaan dan 21 anak kapalnya selamat.
Kapal bernama Talara itu sedang melalui Selat Hormuz apabila ia tiba-tiba mengubah haluan menuju perairan Iran.
Kargo yang dirampas termasuk produk petrokimia Iran yang diangkut secara haram ke Singapura, kata agensi berita Iran, Fars, sambil menambah bahawa orang utama yang bertanggungjawab adalah individu atau syarikat Iran.
Tahun lalu, Pengawal Revolusi merampas sebuah kapal kontena, dengan alasan ia mempunyai kaitan dengan Israel, susulan serangan maut ke atas konsulat Iran di Syria yang disalahkan ke atas Israel.
Bagaimanapun, Fars berkata rampasan Talara bukanlah tindakan terhadap mana-mana negara lain, tetapi merupakan isu tempatan semata-mata.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001