Ribuan beri penghormatan kepada mangsa nahas kebakaran Hong Kong

HONG KONG – Ribuan orang hadir semalam untuk memberi penghormatan kepada mangsa kebakaran terburuk Hong Kong dalam tempoh lebih 75 tahun.

Orang ramai beratur lebih satu kilometer di tepi terusan berhampiran Wang Fuk Court untuk meletakkan bunga sebagai penghormatan.

Bau asap masih kuat di kawasan itu walaupun kebakaran sudah empat hari berlaku.

Sementara itu, Beijing memberi amaran supaya tragedi itu tidak dijadikan alasan untuk mengadakan protes anti-China.

Punca kebakaran di kompleks pangsapuri tinggi itu masih disiasat, di tengah kemarahan orang ramai terhadap amaran risiko kebakaran yang didakwa diabaikan dan penggunaan bahan pembinaan tidak selamat.

Polis mengesahkan angka kematian meningkat kepada 146 orang selepas memeriksa lima blok yang hangus, dengan mayat ditemui di tangga dan bumbung.

Lebih 40 orang masih hilang. Seorang keluarga mangsa, Joey Yeung, 28, berkata keluarganya datang bukan hanya untuk berkabung tetapi menuntut keadilan kepada mangsa.

“Saya tak boleh terima. Jadi hari ini saya datang dengan ayah dan keluarga untuk meletakkan bunga.

“Saya tidak meminta apa-apa balasan, tetapi sekurang-kurangnya berikan keadilan kepada keluarga mangsa, kepada mereka yang masih hidup,” katanya kepada Reuters.

Antara yang terkorban ialah tujuh pekerja domestik Indonesia dan seorang pembantu rumah Filipina, manakala puluhan lagi pekerja migran masih hilang.

Pada Sabtu, polis menahan Miles Kwan, 24, yang terbabit melancarkan petisyen menuntut siasatan bebas kemungkinan berlaku rasuah dan kelemahan pengawasan pembinaan.

Petisyen itu mengumpul lebih 10,000 tandatangan sebelum ditutup.

Petisyen lain dilancarkan dari luar negara turut melepasi 2,700 tandatangan.

Kebakaran tujuh menara berhampiran sempadan China itu mengejutkan Hong Kong dan mencetuskan siasatan jenayah serta rasuah, sementara Beijing memberi amaran agar tragedi itu tidak dipolitikkan atau dijadikan alasan untuk menggugat kestabilan seperti pada 2019.

Setakat ini, 11 orang ditahan berkaitan siasatan bahan binaan tidak selamat dan kemungkinan rasuah semasa kerja pengubahsuaian.Operasi menyelamat ditamatkan pada Jumaat, tetapi polis menjangka lebih banyak mayat mungkin ditemui dalam bangunan yang berisiko tinggi dan memerlukan tiga hingga empat minggu untuk diperiksa sepenuhnya.

Kebakaran bermula pada Rabu petang dan merebak pantas ke tujuh blok setinggi 32 tingkat, yang ketika itu dibalut jaring hijau, perancah buluh dan penebat buih.

Pihak berkuasa mengesahkan sistem penggera kebakaran tidak berfungsi baik, walaupun kompleks itu menempatkan lebih 4,600 penduduk.

Ini merupakan kebakaran paling buruk sejak 1948.

Penduduk sebelum ini sudah membuat aduan mengenai risiko kebakaran, termasuk bahan jaring yang mudah terbakar, tetapi dimaklumkan bahawa risiko adalah rendah.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *