OMS Energy lebar sayap ke Afrika, Pakistan

KUALA LUMPUR – OMS Energy Technologies Inc (OMS) meluaskan jejak globalnya dengan menembusi pasaran antarabangsa baharu di Angola dan Pakistan, satu langkah strategik yang membuktikan syarikat itu kini bukan sekadar pemain serantau, tetapi entiti global sedang berkembang pesat.

Kejayaan menembusi pasaran baharu itu disokong oleh prestasi yang kekal kukuh di pasaran sedia ada, termasuk di Indonesia, Mesir, Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekali gus membantu mempelbagaikan lagi pendapatan syarikat berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan di rantau ini, kedudukan OMS di Thailand semakin utuh apabila syarikat itu berjaya memperbaharui perjanjian selama tiga tahun dengan PTTEP, satu pencapaian yang mengukuhkan lagi kepimpinan pasaran mereka di negara itu.

Di pasaran Indonesia pula, strategi pemasaran agresif syarikat itu membuahkan hasil apabila berjaya menarik pelanggan baharu termasuk PT Seleraya Belida di Sumatera Selatan dan Pertamina Hulu Sanga Sanga di Kalimantan Timur.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif OMS, How Meng Hock berkata, kejayaan memperoleh pelanggan baharu dan pembaharuan kontrak di Thailand, Pakistan dan Afrika itu dicapai di tengah-tengah persekitaran makro yang mencabar, membuktikan daya tahan model perniagaan mereka serta momentum pengembangan kukuh.

Selain kejayaan operasi, OMS turut melaporkan kedudukan kewangan yang luar biasa dengan mencatatkan rekod tunai, setara tunai dan tunai terhad berjumlah AS$128.7 juta setakat 30 September 2025.

Mengulas mengenai prestasi kewangan, Meng Hock menjelaskan, kunci kira-kira yang diperkukuh itu membolehkan syarikat mempercepatkan fasa pertumbuhan seterusnya serta melabur dalam inovasi produk dan merebut peluang pulangan tinggi.

Bagi separuh pertama tahun fiskal 2026, syarikat itu merekodkan jumlah pendapatan sebanyak AS$82.8 juta, yang mana angka itu mencerminkan irama pembatalan pesanan yang lebih normal berbanding jumlah luar biasa tinggi yang dicatatkan pada tempoh tahun sebelumnya.

Katanya, OMS berjaya mengekalkan margin kasar pada tahap yang sihat iaitu 28.2 peratus, hasil daripada disiplin kos dan operasi berterusan diamalkan pengurusan syarikat berkenaan.

Syarikat turut mencatatkan keuntungan operasi sebanyak AS$17.9 juta dengan margin operasi 21.6 peratus, angka menterjemahkan kecekapan model perniagaan serta pengurusan rantaian bekalan yang mantap.

“Permintaan terhadap produk teras syarikat itu kekal memberangsangkan, terutama bagi jualan produk kepala telaga permukaan dan pokok Krismas yang mencatatkan pertumbuhan stabil didorong oleh pelanggan baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan media dikeluarkan OMS Energy Technologies Inc, saluran pesanan aktif dan tunggakan pesanan yang besar di bawah kontrak jangka panjang ketika ini mencerminkan permintaan asas kukuh untuk masa hadapan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *