AMANAH Desak Siasatan Segera Terhadap Kenyataan Marzuk Yang Disifatkan Biadab dan Menghasut

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa pihak berkuasa menyiasat kenyataan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary yang didakwa menyamakan situasi di Palestin dengan keadaan di Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil menyifatkan kenyataan bertajuk “Belajar Dari Sejarah Palestin; Jangan Kita Ulangi Kesilapan Yang Sama” sebagai biadab dan berbahaya kerana menyentuh isu 3R yang boleh mengancam ketenteraman awam.

“Marzuk harus disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kenyataan tersebut boleh dianggap menghasut dan berpotensi menimbulkan salah faham dalam kalangan umat Islam serta menyemarakkan ketegangan kaum dan agama di negara ini.

“Tindakan menyamakan situasi politik dan sejarah Malaysia dengan konflik Palestin-Israel adalah tidak berasas dan menyimpang jauh daripada realiti.

“Penubuhan negara haram Israel adalah hasil konspirasi penjajah British dan Zionis yang merampas tanah rakyat Palestin, berbeza dengan sejarah pembentukan negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, kaum bukan Melayu di Malaysia menjadi warganegara tanpa sebarang peperangan dan tiada mana-mana orang Melayu yang diusir dari tanah mereka.

Malah, katanya, orang Melayu kekal sebagai kaum majoriti dan menerajui kepimpinan utama negara hingga hari ini.

Faiz turut menegaskan, kenyataan Marzuk berkaitan penguasaan ekonomi oleh kaum bukan Melayu turut dilihat sebagai penghinaan terhadap kejayaan orang Melayu dalam sektor perniagaan dan korporat.

Tambahnya, kenyataan itu tidak mencerminkan realiti semasa dan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Mengulas lanjut, beliau menyindir sikap kerajaan negeri pimpinan PAS yang turut memberikan konsesi balak kepada pihak bukan Melayu tanpa pula disamakan dengan penderitaan rakyat Palestin.

“Inilah sikap double standard PAS yang sering menggunakan agama untuk meraih sokongan, tetapi tidak menunjukkan komitmen terhadap perpaduan dan keharmonian negara,” katanya.

Beliau menegaskan, pendekatan PAS ini bertentangan dengan ajaran Nabi Muhammad SAW yang menitikberatkan perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *