SHAH ALAM – Belanjawan 2026 disifatkan sebagai bukti konsolidasi fiskal boleh dilaksanakan tanpa menekan rakyat atau mengurangkan bantuan kepada isi rumah, kata Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Muhammad Faiz Fadzil.
Menurut beliau, belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu memperlihatkan keseimbangan antara disiplin fiskal dan perlindungan sosial, selain memberi fokus jelas terhadap sektor perikanan dan pembangunan generasi muda.
“Sektor perikanan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjadi antara tumpuan utama belanjawan kali ini, khususnya dalam menjaga kebajikan nelayan.
“Kerajaan mengekalkan subsidi diesel RM1.65 seliter khusus untuk nelayan serta meneruskan elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan dan insentif hasil tangkapan dengan peruntukan RM160 juta.
“Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi membaik pulih rumah daif termasuk 380 rumah nelayan, satu langkah yang menurut beliau bukan sekadar kebajikan, tetapi usaha meningkatkan maruah dan kualiti hidup komuniti nelayan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memuji pendekatan kerajaan yang tidak mendiskriminasi mana-mana negeri, termasuk Kelantan dan Terengganu di bawah pentadbiran pembangkang (SG4), dalam menyalurkan manfaat kepada golongan nelayan.
Faiz turut menyambut baik langkah kerajaan memperluas galakan cukai automasi sektor pertanian yang turut merangkumi industri akuakultur dan perikanan laut dalam, bagi memperkukuh daya saing jangka panjang sektor tersebut.
Di samping itu, katanya, peruntukan RM20 juta disediakan bagi membantu nelayan menaik taraf vesel untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing serta menggantikan pukat tunda Zon B dan pukat kenka dua bot ke arah kaedah penangkapan lebih lestari.
Dalam aspek pembangunan belia, Faiz menyatakan penghargaan terhadap pelbagai inisiatif yang diperkenalkan bagi memperkasa anak muda dari segi pendidikan, kemahiran dan keusahawanan.
Antaranya, program K-Youth oleh Khazanah Nasional bernilai RM200 juta dijangka memberi latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik seperti semikonduktor, digital dan teknologi.
Kerajaan juga memperuntukkan RM4.4 bilion bagi biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan, manakala potongan cukai dua kali diberikan kepada syarikat swasta yang menawarkan biasiswa kepada pelajar berkelayakan.
Dalam usaha memperkukuh keusahawanan belia, BSN memperuntukkan RM150 juta bagi pembiayaan usahawan muda di bawah umur 30 tahun, SME Corp menyediakan RM12 juta di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera, dan MARA meneruskan Industrial Boot Camp (IBC) dengan peruntukan RM30 juta.
“Belanjawan 2026 bukan sekadar memastikan kedudukan fiskal negara terjaga, tetapi juga memberi nafas baharu kepada sektor perikanan dan masa depan anak muda. Ia membuktikan bahawa kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat boleh dicapai serentak tanpa meminggirkan mana-mana golongan,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001