PERKASA Desak Presiden dan Pegawai Tertinggi FAM Letak Jawatan Isu Pemain Naturalisasi

SHAH ALAM – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Setiausaha Agung dan Penasihat badan induk itu meletakkan jawatan serta-merta berikutan dakwaan salah laku serius yang didakwa menjejaskan integriti bola sepak negara.

Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris, dalam satu kenyataan media hari ini, berkata, skandal berkenaan melibatkan pemain asing yang didaftarkan sebagai pemain skuad Harimau Malaya selepas proses naturalisasi yang disifatkan sebagai tergesa-gesa dan meragukan.

Menurut beliau, tindakan FAM mendaftarkan pemain berkenaan didakwa bercanggah dengan peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), yang menetapkan seseorang pemain perlu menjadi warganegara sesebuah negara sekurang-kurangnya lima tahun sebelum layak mewakilinya dalam kejohanan antarabangsa.

“FAM memberi alasan bahawa datuk nenek pemain terbabit dilahirkan di Malaysia dan berhijrah ke luar negara, kononnya mereka mempunyai ‘darah Malaysia’. Namun, dokumen yang dikemukakan diragui kesahihannya,” katanya.

Irwan menegaskan, tindakan itu bukan sahaja mencemarkan imej bola sepak Malaysia, malah berpotensi menimbulkan keraguan terhadap status kewarganegaraan serta integriti dokumen rasmi negara di peringkat antarabangsa.

Beliau turut menambah, Malaysia sudah tercalar dengan pelbagai skandal besar sebelum ini termasuk isu 1MDB dan perkembangan terbaharu ini hanya menambah persepsi negatif terhadap nama baik negara di mata dunia.

“Kami menyeru agar pihak berkuasa dan semua pemegang taruh bola sepak negara mengambil tindakan segera bagi memastikan keadilan ditegakkan serta maruah dan integriti Malaysia dipulihkan,” katanya lagi.

Justeru, beliau mendesak agar siasatan menyeluruh dijalankan terhadap semua pihak berkaitan dalam isu naturalisasi pemain yang didakwa melanggar peraturan FIFA itu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *