LONDON – Ribuan pelajar berhimpun di London dan beberapa bandar utama United Kingdom (UK) semalam bagi menyertai demonstrasi menyokong Gaza, sekali gus mencabar rayuan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, agar mereka tidak mengadakan perhimpunan sempena ulang tahun kedua serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober.
Dengan laungan ‘Bebaskan Palestin’, pelajar dari beberapa universiti di London berarak di tengah-tengah ibu kota Britain, jam 2 petang.
Perhimpunan serta acara memperingati termasuk majlis nyalaan lilin turut diadakan di bandar lain seperti Edinburgh, Glasgow, Sheffield dan Manchester.
Starmer dalam penulisannya di akhbar The Times menuduh tunjuk perasaan pro-Palestin yang diadakan secara berkala disalahgunakan untuk menyerang masyarakat Yahudi Britain atas sesuatu yang sama sekali bukan tanggungjawab mereka.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai keji dan mencerminkan ‘kehilangan empati dan kemanusiaan sepenuhnya.’
“Perbuatan sedemikian tidak mencerminkan nilai masyarakat Britain yang sebenar. Lebih buruk lagi, ada yang memilih untuk kembali melaungkan kebencian terhadap orang Yahudi,” katanya.
Bagaimanapun, seorang penunjuk perasaan, Daniel, 19, dari King’s College London, berkata: “Adalah penting untuk menunjukkan sokongan sebagai pelajar Yahudi yang menentang Zionisme.”
“Saya mahu menunjukkan bahawa menentang apa yang sedang berlaku di Asia Barat sekarang, iaitu penindasan terhadap rakyat Palestin bukanlah satu bentuk anti-Semitisme,” katanya.
Seorang lagi peserta, Sim Junaid, berkata: “Bagi saya, menjadi rakyat Britain bermaksud mempertahankan nilai-nilai British, dan salah satunya ialah empati… ia soal menjadi seorang manusia.”
Serangan di luar sebuah rumah ibadat Yahudi di Manchester pada 2 Oktober lalu mengorbankan dua individu, seorang maut di tempat kejadian manakala seorang lagi dipercayai maut akibat tembakan yang dilepaskan anggota polis bersenjata.
Seorang warga Israel, Emily Schrader, 34, yang sedang melawat keluarganya di London, mengecam perhimpunan itu sebagai ‘amat tidak bertanggungjawab’.
“Saya rasa protes seperti ini memberi mesej yang sangat salah,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Starmer memberi amaran, susulan dua tahun kebelakangan ini menyaksikan ‘peningkatan anti-Semitisme’ di United Kingdom, termasuk insiden rempuhan kereta dan serangan tikaman di Manchester yang berlaku pada Hari Yom Kippur iaitu hari paling suci dalam kalendar Yahudi.
“Ini adalah noda terhadap siapa kita sebenarnya dan negara ini akan terus berdiri teguh serta bersatu menentang mana-mana pihak yang mahu menyebarkan kebencian atau mencederakan komuniti Yahudi,” tegasnya.
Untuk rekod, serangan dilancarkan Hamas pada Oktober 2023 mengorbankan 1,219 orang, kebanyakannya orang awam, menurut statistik AFP, berdasarkan angka rasmi Israel.
Pejuang Hamas turut menawan 251 tebusan, dengan 47 daripadanya masih ditahan di Gaza.
Tentera Israel memaklumkan 25 daripada mereka disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, menurut angka Kementerian Kesihatan Gaza yang ditadbir Hamas iaitu data yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan balas besar-besaran oleh Israel sepanjang dua tahun lalu pula mengorbankan sekurang-kurangnya 67,160 rakyat Palestin.
Demonstrasi menyokong Palestin tetap diteruskan hujung minggu lalu di seluruh Britain, walaupun kerajaan menyeru orang ramai supaya tidak berhimpun susulan serangan di Manchester.
Kumpulan aktivis Defend Our Juries (DOJ) berkata, gesaan untuk membatalkan protes pro-Palestin selepas insiden itu adalah tindakan yang ‘salah kerana menyamakan tindakan kerajaan Israel dengan seluruh masyarakat Yahudi’.
“Orang Yahudi di seluruh dunia tidak bertanggungjawab terhadap jenayah dilakukan Israel dan ramai antara mereka yang juga tidak menyokong tindakan kerajaan Israel,” kata Zoe Cohen mewakili DOJ pada Sabtu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001