Perkasa mahu Kg. Sungai Baru kekal 99 peratus Melayu

SHAH ALAM – Perkasa kecewa dengan insiden berlaku di Kampung Sungai, Kuala Lumpur pagi semalam ketika usaha pemaju mahu menjalankan kerja meroboh rumah.

Presidennya, Syed Hassan Syed Ali berkata, tindakan itu mendapat bantahan penduduk yang tidak mahu menjual rumah mereka sehingga berlaku ketegangan dan beberapa orang tercedera termasuk Ketua Polis Daerah Dang Wangi.

Apa pun, katanya, penduduk yang enggan berpindah atau menjual kediaman mereka mempunyai hak dari segi Undang-Undang untuk menuntut keadilan.

“Bagi Perkasa, kita mahu pembangunan semula demi keselesaan dan apa lagi di tengah bandar raya agar ibu kota dilihat cantik, bersih dan tersusun.

“Tetapi, Perkasa mahu kerajaan memastikan pembangunan di Kampung Sungai Baru yang sekarang ini 99.99 peratus adalah Melayu wajar kekal begitu jumlahnya.

“Kemasukan penduduk atau pembeli luar dari kawasan itu hendaklah Melayu dan pembangunan pula mesti orang Melayu mampu milik dan beli,” katanya.

Selain itu, kata beliau, Perkasa mengalu-alukan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memilih Datuk Seri Johari Ghani mengetuai sekretariat dari kerajaan untuk menyelesaikan isu itu.

Jelasnya, Johari seorang yang sangat tepat untuk selesaikan isu tersebut memandangkan beliau adalah wakil rakyat Titiwangsa dan juga pernah menerajui UDA yang membantu pembangunan legasi residensi Kampung Baru berjaya dijual 100 peratus kepada Melayu.

Katanya, yang penting semua lokasi hendak dibangun semula jika penduduk asalnya 70 hingga 100 peratus Melayu, hendaklah kekal peratusannya sedemikian dan diberi kepada agensi kerajaan seperti UDA untuk membangunkan semua kawasan seperti itu.

“Sebab itu, orang ramai dari luar hadir menghalang kerja meroboh semalam, kerana tahu pembangunan di Kampung Sungai Baru itu akan menyebabkan kemasukan ramai bukan Melayu apabila pembangunan siap.

“Tiada jaminan bukan Melayu tidak melebihi orang Melayu di kawasan tersebut di masa akan datang kerana NGOs difahamkan pembangunan tersebut bebas dijual kepada semua kaum dan warga asing.

“Kami mahu Johari pastikan peratusan penduduk di situ kekal 99.99 peratus Melayu. Kebetulan ianya dalam kawasan Parlimen Titiwangsa yang mana beliau adalah Ahli Parlimennya,” ujar beliau.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *