PWPPRCSWKM beri amaran kepada dua bekas Wakil Pelabur, henti guna nama NGO CSWK

SHAH ALAM – Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia (PWPPRCSWKM) memberi amaran keras ke atas dua bekas wakil pelabur yang masih menggunakan nama NGO itu dalam urusan harian.

Yang Dipertuanya, Fadzillah Hussin berkata, taraf wakil pelabur yang diberikan kepada dua individu terbabit, Kuan Soon Sen dan Nor Azmi Othman juga terbatal berkuatkuasa 31 Mei lalu, atas sebab-sebab pelanggaran perlembagaan pertubuhan.

Kata beliau, pihaknya mengesan mereka masih menggunakan nama NGO CSWK, memakai baju rasmi pertubuhan, termasuk mempamerkan lambang PWPPRCSWKM pada kenderaan, yang boleh menjejaskan nama baik pertubuhan itu.

“Saya ingin memberikan amaran terakhir kepada mereka supaya segera menghentikan penggunaan nama NGO CSWK.

“Amaran ini dibuat selepas kita menerima maklumat sahih mengenai rekod yang kurang baik, sekali gus tidak melayakkannya untuk terus memakai panggilan hormat tersebut.

“PWPPRCSWKM mengambil serius soal integriti dan reputasi kerana setiap ahli membawa simbol kehormatan serta tanggungjawab moral,” katanya kepada media hari ini.

Menurut Fadzillah, tindakan membatalkan keahlian wakil pelabur dan segala kemudahan yang diberikan kepada mereka dengan sendirinya tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan dan kaitan antara individu terbabit dengan PWPPRCSWKM.

Beliau turut menggesa Soon Sen atau nama Islamnya, Hussin menghentikan serta merta menggunakan nama pertubuhan itu.

“Sekiranya arahan ini masih diingkari, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan seterusnya, termasuk memaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Langkah pertubuhan ini, dengan keputusan sebulat suara anggota Lembaga Adat menarik balik pengiktirafan itu adalah wajar demi menjaga kredibiliti PWPPRCSWKM.

“Panggilan wakil pelabur kepada individu tertentu bukan sekadar panggilan. Ia melambangkan kepercayaan dan penghormatan. Jika diberikan kepada orang yang salah, ia boleh merosakkan nama baik dan kita bertegas dalam hal ini,” katanya.

Menurut Fadzillah, pihaknya komited mengekalkan ketelusan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang individu yang cuba memanfaatkan kemudahan yang diberikan pertubuhan bagi tujuan peribadi meskipun mempunyai rekod kurang baik.

Pada 5 Ogos lalu, media melaporkan kenyataan Fadzillah yang membatalkan keahlian dua wakil pelabur berkuat kuasa serta merta kerana dikatakan terlibat dalam kes penipuan sehingga pertubuhan berkenaan mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *