Siri Akhir: Bengkel Penulisan Skrip Teater Bersama Dinsman

HARI ketiga – 3 Ogos 2025 – lebih kepada rumusan bengkel, selain peserta dihidangkan sketsa monolog daripada peserta, Syarifah Khadijah Al-Jufri bertajuk: Maaf? Akukah Yang Bersalah?

Syarifah Khadijah menyampaikan monolog karangannya dengan penuh perasaan, terutama apabila beliau meluahkan rasa hati terpendamnya berhubung satu peristiwa yang menyedihkan berlaku pada hari pertama bengkel.

Peristiwanya itu diluahkan menerusi sketsa monolog sebagaimana tajuk dinyatakan. Tidak perlu untuk penulis mengulas lebih lanjut, kerana monolog ini akan dipersembahkan kepada umum menjelang malam sambutan Hari Kemerdekaan – 31 Ogos 2025 – di Dataran Shah Alam.

Ketika Datuk Dinsman (Pak Din) menjemput Syarifah Khadijah persembahkan hasil skripnya, beliau mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minit untuk mengumpul idea, sebelum dilontarkan dengan penuh jiwa kepada kami, peserta bengkel.

Kami – enam peserta – terkesima dengan persembahan solo puan Syarifah Khadijah yang bermonolog tanpa skrip selama hampir lapan minit.

Syarifah Khadijah sebenarnya menterjemahkan pengalaman menakutkan yang dilaluinya sehari sebelum program Santai Seni @Kampung Permata: Kundang Nan Hijau.

Dalam kejadian itu, ketika beliau bersama ahli jawatankuasa program dan penduduk Kampung Kundang membuat persiapan, tiba-tiba aplikasi Whatsapp telefonnya berbunyi.

Terpapar satu mesej menakutkan, yang meruntun hati dan jiwanya. Mesej itu hampir saja meragut semangatnya yang berkobar-kobar sebelumnya, tetapi telah melemahkan segala urat saraf dan sendi tulang dalam sekelip mata.

Peristiwa itu kemudian diluahkan kepada Pak Din, yang bertindak sebagai pendengar setia, manakala peserta lain turut bersimpati dengan tragedi dihadapi Syarifah Khadijah.

Maka, peristiwa itulah diterjemahkan olehnya secara monolog dan kami bersetuju ia akan dipersembahkan kepada khalayak secara tidak dirancang pada malam 31 Ogos ini.

Bengkel tiga hari itu akhirnya tamat sekitar jam 1 tengah hari, sebelum beberapa perancangan akan datang dimasukkan dalam slot Paksi – Sambutan Hari Kemerdekaan di Kundang Nan Hijau pada malam 30 Ogos nanti.

Menurut Pak Kassim (Timbalan Presiden Paksi – Kassim Muhamad) sebagai rumusan kepada bengkel itu, semua skrip teater yang dihasilkan oleh peserta akan dibukukan.

Bagi menjayakan usaha itu, semua skrip akan melalui proses bedah, hujah, ulasan dan diskusi para peserta, termasuk ulasan oleh Pak Din yang digalurkan berasaskan kehendak sebenar teater.

“Untuk proses ini berjalan lancar dan ‘licin’, kita memang mengharapkan persediaan awal oleh para peserta, yang hadir dengan draf karya masing-masing.

“Selain itu, semua peserta turut terlibat membincangkan skrip mereka dan mengikut hasrat awal perancangan bengkel, skrip ini akan dipentaskan di tempat yang sesuai,” katanya.

Dikesempatan ini juga, penulis ingin menampilkan dua sosok penting yang berperanan utama dalam menjayakan Bengkel Penulisan Skrip Teater Paksi bimbingan Datuk Dinsman di Dewan Komuniti Kampung Permata itu.

Mereka ialah saudara Maamor Jantan dan isterinya, Norfadilah Ahmad. Pasangan ini menyambut hasrat Paksi bagaikan ‘kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan’.

Mereka berdua bersama penduduk setempat bertungkus lumus membuat persiapan tempat, makan minum, penginapan dan kemuncaknya menjayakan program persembahan kami kepada khalayak.

Sesuatu yang menarik, yang dapat kami kesan ialah semangat persaudaraan masih berdenyut di Kampung Kundang.

Ia amat mengejutkan kami, kerana ketika semua tempat mengalami arus perubahan dan urbanisasi yang telah melembapkan banyak tradisi desa, termasuk amalan gotong royong, namun Kampung Kundang masih menonjolkan sebuah oasis persaudaraan.

Umum tahu, di mana sahaja, banyak kampung dan desa semakin hilang ikatan komuniti lama, tetapi Kampung Kundang diketuai saudara Maamor masih kekal dengan budaya tolong-menolong oleh penduduknya.

Kepimpinan saudara Maamor dan isteri serta ahli jawatankuasanya bukan sekadar simbol, tetapi ia berfungsi sebagai pemangkin.

Dengan pendekatan mesra dan konsisten memanggil penduduk untuk bergotong-royong, beliau berjaya menghidupkan kembali semangat kolektif, membersihkan kawasan, mempersiapkan khemah, alat siar raya, makan minum, kerusi meja dan menyusun atur acara yang agak kemas sehingga berjalan lancar, sekali gus memupuk rasa tanggungjawab antara jiran dengan tetamu.

Jelas sekali, ketika dunia makin kehilangan semangat sebegini, Kampung Kundang yang menjadi pilihan tepat Paksi untuk bengkel penulisan skrip teater, secara tidak langsung memberi pembelajaran adat, rasa hormat terhadap tetamu serta nilai solidariti yang sukar ditemui di bandar mahupun mana-mana kampung dalam zaman serba canggih ini.

Penulis boleh rumuskan, Kampung Kundang telah menunjukkan beberapa pelajaran yang boleh ditiru oleh mana-mana kampung dan desa lain mengenai kepimpinan konsisten serta nilai rendah diri.

Di samping aktiviti komuniti memberi faedah nyata, bukan sekadar upacara simbolik, ia turut melibatkan generasi muda melalui peranan bermakna, bukan tugas rutin yang membosankan.

Semangat persaudaraan di Kampung Kundang bukan warisan yang statik, ia sebuah amalan yang dipupuk, dilindungi dan disesuaikan mengikut arus zaman.

Di bawah pimpinan saudara Maamor, isteri dan jawatankuasa komuniti, Kampung Kundang membuktikan, walau sesibuk mana penduduk dengan kerjaya masing-masing, nilai gotong royong dan kasih sayang jiran tetap terus hidup, asalkan ada niat, ruang untuk berkongsi dan kepimpinan yang mengajak tanpa mengikat. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *