GEORGETOWN – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan dua politeknik di utara Semenanjung menyemak semula kursus ditawarkan agar selari dengan keperluan semasa industri berteknologi tinggi, khusus sektor semikonduktor yang sedang berkembang pesat.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, dua institusi itu ialah Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim, Kedah.
“Politeknik juga perlu kita persiapkan. Saya telah mengarahkan agar dua politeknik yang berada dalam zon utara ini menyemak semula kursus yang ditawarkan agar dapat memenuhi keperluan bidang semikonduktor yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan IEEE International Symposium on the Physical and Failure Analysis of Integrated Circuits (IPFA) 2025 di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Bayan Lepas semalam.
Persidangan IPFA 2025 yang berlangsung dari 5 Ogos hingga hari ini dianjurkan Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), USM dan merupakan penganjuran kali kedua di Malaysia.
Menurut Dr. Zambry, langkah itu adalah sebahagian usaha kerajaan memperkasa ekosistem pendidikan tinggi negara supaya mampu menyokong aspirasi menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam sektor semikonduktor dunia.
Beliau turut menekankan keperluan membina ekosistem pendidikan menyeluruh serta memperkukuh jaringan strategik antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan pihak industri.
“Bukan hanya Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) juga antara peneraju utama dalam bidang ini.
“Kita turut mempunyai lima institusi di bawah Malaysia Technical University Network (MTUN) yang menumpukan kepada bidang teknikal tinggi seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor,” jelasnya.
Beliau memuji kejayaan USM membangunkan cip mikroelektronik sendiri melalui kerjasama erat bersama pemain industri.
Ini katanya, menggambarkan kemampuan IPT negara dalam meneroka bukan sahaja aspek belakang semikonduktor, tetapi juga fasa hadapan yang melibatkan reka bentuk dan pengeluaran cip.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001