Inteam wakili Munsyid Malaysia ziarah Nazrey

KUALA LUMPUR: Atas kasih sayang dan solidariti terhadap rakan seperjuangan, kumpulan nasyid, Inteam menziarahi bekas anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani yang menghidap sakit jantung di kediamannya di Kota Kinabalu, Sabah.

Inteam yang mewakili Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid) pada kunjungan itu, bertanya khabar Nazrey yang dalam fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan memasukkan belon dan sten di jantung, baru-baru ini.

Inteam berkunjung sementelah menjayakan persembahan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC) di Kota Kinabalu.

Pada kunjungan itu, anggota Inteam yang juga Presiden Munsyid Malaysia, Hazamin menyampaikan sumbangan kebajikan kepada Nazrey bagi pihak Biro Keahlian dan Kebajikan, Munsyid Malaysia.

Hazamin berkata, selain menyerahkan sumbangan, Inteam dan Munsyid Malaysia mahu membuktikan kasih sayang antara sahabat dan ahli pertubuhan pada kunjungan itu.

“Kami hadir bukan sekadar membawa doa dan sumbangan, tetapi sebagai tanda persaudaraan sesama munsyid. Nazrey adalah sosok penting dalam sejarah perkembangan nasyid tanah air.

“Semangat dan perjuangan beliau menjadi inspirasi buat generasi selepasnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Nazrey berkongsi, beliau dalam fasa pemulihan dan dinasihati doktor untuk berehat selama lebih sebulan bagi memastikan jantung berada dalam keadaan baik selepas pembedahan.

Nazrey turut menzahirkan ucapan penghargaan buat rakan seperjuangan daripada Inteam yang mewakili Munsyid Malaysia kerana menziarahinya.

“Saya sedang berehat atas nasihat doktor. Aktiviti seni terpaksa saya hentikan seketika untuk beri ruang kepada proses pemulihan.

“Saya nasihatkan semua sahabat Munsyid Malaysia menjaga kesihatan, amalkan gaya hidup sihat dan jangan lupa buat pemeriksaan kesihatan secara berkala… Jangan ambil ringan.

“Saya doakan Munsyid Malaysia terus maju dan bersatu. Terima kasih Munsyid Malaysia dan sahabat Inteam atas keprihatinan ini,” katanya.

Kunjungan itu turut diselitkan dengan sesi sembang santai mengenang perjuangan seni Islam sejak era kegemilangan nasyid pada 1990-an serta perkongsian nasihat daripada Nazrey.

Munsyid Malaysia melalui Biro Keahlian dan Kebajikan terus komited untuk menjaga kebajikan artis nasyid tanah air sebagai komuniti yang saling menyokong dalam susah dan senang.

Sebelum ini, BH Online melaporkan Nazrey, 54, yang dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kota Kinabalu, Sabah, sejak Ahad lalu akibat sakit jantung sudah dibenarkan pulang, pagi kelmarin.

Nazrey menjalani pembedahan memasukkan sten dan belon pada jantung berikutan beberapa saluran organ itu dikatakan 99 peratus tersumbat.

Telegram:https://t.me/nasionaldaily

Facebook:https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok:https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan:admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *