KUALA LUMPUR: Pengasas Les’ Copaque Production yang menerbitkan siri dan filem animasi popular, Upin & Ipin, iaitu Burhanuddin Md Radzi menyambut baik pelaksanaan Dana Padanan dan Dana Produksi Bersama oleh kerajaan bagi menggalakkan projek pelaburan bersama bagi menghasilkan kandungan bertaraf global.
Burhanuddin berkata, pembangunan bakat dalam industri kreatif digital dapat diperkukuh melalui pelbagai program dan inisiatif diambil kerajaan.
“Syarikat bersyukur industri kreatif dilihat mampu memberi pulangan yang besar. Kami mengalu-alukan bantuan daripada kerajaan, justeru, berharap pelaksanaan inisiatif ini mampan dan berkesan,” katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, Burhanuddin berpendapat kerajaan perlu mempunyai perancangan lebih menyeluruh untuk menyokong industri kreatif digital.
“Bagus apabila kerajaan melihat industri kreatif digital memberi keuntungan. Industri kreatif sangat subjektif, kalau kita boleh raih perhatian dunia, kita boleh berjaya.
“Syukur projek animasi kami, Upin & Ipin dianggap terbaik di Asia. Jadi. bagi saya, pelaksanaan ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.
Kelmarin, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan komited memacu pertumbuhan ekonomi jingga melalui industri kreatif digital yang berpotensi tinggi.
Anwar dilapor berkata, industri kreatif digital negara menjana pendapatan berjumlah RM6.3 bilion, dengan nilai eksport mencecah RM850 juta.
Malah, beliau memetik produk animasi Mechamato dan Upin & Ipin yang menjadi bualan di arena antarabangsa.
Burhanuddin bagaimanapun berpendapat kerajaan wajar memikirkan soal pemasaran produk digital yang diusahakan anak tempatan.
“Jika kita perbanyakkan karya digital tempatan, di mana kita mahu jana wang? Stesen televisyen (TV) tempatan tidak mahu ambil karya animasi kerana mahal. Sebaliknya, mereka dapatkan kandungan dari sumber ‘syndicated’.
“Jika anak tempatan hasilkan kandungan digital untuk pasaran kita, susah untuk mereka hidup. Jika ada pihak mahu membeli pun, RTM. Soalnya, kalau kita hasilkan lebih banyak kandungan, ke mana mahu disalur dan jual?” katanya.
Burhanuddin menggalakkan pengkarya tempatan untuk memenangi hati penonton tempatan sebelum produk dipasarkan ke luar negara, mengikut kaedah digunakan syarikatnya.
“Kita kena terkenal dalam negara dahulu, kemudian baru boleh dijual di luar negara,” katanya. – Berita Harian
Telegram:https://t.me/nasionaldaily
Facebook:https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok:https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan:admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001