KOTA BHARU: Penjara Wilayah Narathiwat menafikan khabar angin penyanyi dikir barat moden Malaysia, Eda Ezrin, yang ditahan di penjara itu sejak November tahun lalu, telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya yang turut ditahan di fasiliti sama.
Pengarah penjara, Surin Chantep, berkata penyanyi berusia 30 tahun itu tidak pernah membuat sebarang permohonan untuk ‘fasakh’, berbeza dengan dakwaan yang tersebar kebelakangan ini.
“Kami tidak menerima sebarang permohonan daripada Eda Ezrin. Ini hanyalah khabar angin yang tidak berasas. Saya sendiri tertanya-tanya bagaimana perkara ini boleh timbul kerana beliau tidak pernah menyuarakan hasrat sedemikian,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika ditemui semalam.
Surin menambah bahawa ibu kepada dua anak itu berada dalam keadaan sihat dan bersemangat, terutama selepas bertemu dengan anak-anaknya minggu lalu.
“Untuk pengetahuan keluarga dan peminatnya, pihak penjara membenarkan beliau bertemu dengan suaminya yang berusia 30 tahun sekali sebulan, pada hari Rabu.
“Pertemuan selama 20 minit itu diselia oleh pegawai penjara,” katanya.
Cakap-cakap mengenai hasrat Eda Ezrin untuk memfailkan permohonan cerai mula tersebar dalam kalangan peminat dan ahli keluarganya baru-baru ini.
Penjara anjur program ‘Bersama Keluarga’
Dalam perkembangan lain, beliau berkata penjara itu baru-baru ini menganjurkan program khas “Bersama Keluarga” yang membolehkan banduan warga Malaysia bertemu dan meluangkan masa bersama ahli keluarga secara bersemuka dalam suasana yang lebih santai.
Beliau berkata inisiatif yang diadakan dua kali setahun itu bertujuan menyokong kesejahteraan emosi para banduan dengan memberi peluang kepada mereka untuk makan, berbual dan mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga.
“Program kali ini diadakan dari 21 hingga 25 Julai dan hampir 20 keluarga banduan termasuk keluarga Eda Ezrin dibenarkan untuk hadir di bawah program ini.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada banduan untuk bertemu dan makan bersama ahli keluarga secara fizikal, dan ia memainkan peranan besar dalam proses pemulihan mereka,” kata Surin.
Acara itu turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Thai bagi Undang-Undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia, Kamonsak Leewamoh. – Berita Harian
Telegram:https://t.me/nasionaldaily
Facebook:https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok:https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan:admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001