PHNOM PENH: Kemboja bersetuju menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) bersama Thailand di Malaysia, minggu depan, untuk meneruskan rundingan damai demi menyelesaikan konflik sempadan antara kedua-dua negara.
Dalam mesyuarat khas di Putrajaya pada 28 Julai lalu, kedua-dua negara itu mencapai persetujuan untuk mengadakan mesyuarat GBC sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata berkenaan.
Mesyuarat itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Phnom Penh pada 4 Ogos ini.
Bagaimanapun, semalam, Thailand mengemukakan cadangan agar mesyuarat diadakan di Malaysia sebagai lokasi berkecuali, dan tempohnya dipanjangkan daripada hanya satu hari perbincangan.
Agensi berita negara, Agence Kampuchea Presse, melaporkan Kerajaan Kemboja bersetuju dengan permintaan Thailand.
“Kemboja bersetuju dengan cadangan Thailand untuk mengadakan mesyuarat GBC di Malaysia, dan mencadangkan wakil daripada tiga negara membabitkan Malaysia, Amerika Syarikat dan China (turut hadir sebagai pemerhati),” kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Negara, Jeneral Tea Seiha.
Beliau juga bersetuju dengan tarikh baharu dicadangkan, iaitu dari 4 hingga 7 Ogos ini, bagi membincangkan isu pertikaian sempadan yang mencetuskan ketegangan dan insiden pertempuran bersenjata pada 24 Julai lalu.
Pertempuran dihentikan pada tengah malam 28 Julai lalu apabila Kemboja dan Thailand bersetuju mengadakan rundingan gencatan senjata atas permintaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.
Sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditandai secara rasmi itu telah lama menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara, yang beberapa kali mencetuskan ketegangan dan menjejaskan hubungan diplomatik.