Thailand Guna Jet Pejuang F-16 Serang Kemboja, Krisis Sempadan Meletus

KETEGANGAN di sempadan Thailand-Kemboja kini memasuki fasa paling kritikal selepas tentera Thailand mengesahkan penggunaan jet pejuang F-16 untuk menyerang beberapa sasaran ketenteraan di wilayah Kemboja.

Serangan itu dilancarkan pada pagi Khamis semalam, berhampiran kawasan Kuil Ta Moan Thom, susulan insiden tembak menembak yang tercetus sebelum subuh.

Ini merupakan salah satu insiden ketenteraan terbesar antara kedua-dua negara sejak konflik sempadan pada tahun 2011.

Jurucakap tentera Thailand, Richa Suksuwanon mengesahkan, satu daripada enam jet F-16 yang digerakkan telah melepaskan bom ke atas posisi yang dikenalpasti sebagai sasaran aktif tentera Kemboja.

Operasi itu menurut beliau dilakukan sebagai langkah pertahanan bagi memberi isyarat, sebarang bentuk pencerobohan tidak akan dibiarkan berterusan. Thailand mendakwa tindakan itu adalah tindak balas langsung terhadap serangan terdahulu yang datang dari arah Kemboja.

Kementerian Pertahanan Thailand menyatakan, Kemboja sebelum itu telah menghantar dron pengawasan dan melancarkan beberapa tembakan roket jenis BM-21 ke arah pos tentera Thailand, menyebabkan dua anggota cedera dan dua orang awam terbunuh di wilayah Surin.

Serangan itu dianggap sebagai provokasi serius yang memerlukan tindak balas segera. Bangkok mendakwa tindakan ketenteraan itu terpaksa diambil selepas amaran diplomatik mereka tidak diendahkan.

Namun, Phnom Penh menafikan dakwaan itu dan menyifatkan tindakan ketenteraan Thailand sebagai serangan agresif yang langsung tidak berasas.

Dalam kenyataan balas yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Kemboja, mereka menegaskan sebarang tindakan oleh pasukan mereka adalah dalam rangka mempertahankan kedaulatan negara. Mereka juga menuduh Thailand sengaja memburukkan keadaan untuk mengalih perhatian daripada isu dalaman.

Dalam perkembangan susulan, Kementerian Luar Thailand mengumumkan penutupan semua pintu masuk sempadan dengan Kemboja sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Mereka turut mengeluarkan amaran bahawa tahap pertahanan di kawasan sempadan akan ditingkatkan dengan lebih banyak kehadiran anggota tentera darat dan udara. Amaran itu turut disertai dengan kenyataan bahawa sebarang tindakan lanjut dari pihak Kemboja akan menerima balasan yang setimpal.

Sekurang-kurangnya 40,000 penduduk dari 86 kampung di sekitar kawasan sempadan kini telah diarahkan berpindah ke lokasi lebih selamat.

Operasi pemindahan ini dijalankan secara tergesa-gesa oleh pihak berkuasa tempatan dengan bantuan agensi kecemasan dan pertahanan awam. Penduduk yang dipindahkan dilaporkan trauma dengan letupan dan bunyi tembakan yang semakin kerap berlaku sejak beberapa hari lalu.

Krisis ini turut tercetus berikutan beberapa kejadian letupan periuk api yang menyebabkan lima anggota tentera Thailand cedera minggu lalu. Bangkok menuduh Phnom Penh menanam periuk api baharu di kawasan yang masih dalam pertikaian sempadan.

Namun pihak Kemboja menolak tuduhan itu dan menegaskan bahawa periuk api tersebut adalah tinggalan lama dari zaman perang saudara, selain menyatakan bahawa tentera Thailand telah menyimpang dari laluan yang dipersetujui dalam perjanjian bersama.

Pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja bukan sesuatu yang baru, malah telah berlarutan lebih daripada satu abad, terutama di sekitar kawasan kuil purba seperti Preah Vihear dan Ta Moan Thom.

Kedua-dua negara pernah terlibat dalam konflik bersenjata besar pada tahun 2008 dan 2011 yang mengorbankan nyawa dan merosakkan kawasan warisan dunia. Sehingga hari ini, sempadan sebenar di beberapa lokasi masih gagal dimuktamadkan secara rasmi.

Tindakan Thailand menggunakan kekuatan udara secara terbuka dalam konflik sempadan ini dilihat sebagai satu langkah luar biasa yang bakal mencetuskan reaksi keras daripada masyarakat antarabangsa.

Beberapa penganalisis politik serantau memberi amaran bahawa krisis ini jika tidak dikawal dengan segera, berpotensi mencetuskan konflik berskala lebih besar dan mungkin menarik campur tangan pihak luar yang berkepentingan di rantau itu.

Kemboja dalam kenyataan media mereka menyifatkan langkah ketenteraan Thailand sebagai satu tindakan yang mencabul undang-undang antarabangsa dan mengancam keselamatan serantau.

Mereka telah memanggil duta Thailand ke Phnom Penh untuk memberikan penjelasan rasmi dan pada masa sama menghubungi ASEAN untuk campur tangan diplomatik.

Dalam masa sama, beberapa pasukan tambahan dari tentera Kemboja telah dihantar ke kawasan sempadan bagi memperkuat pertahanan mereka.

Reaksi dari negara-negara jiran seperti Vietnam dan Laos setakat ini masih berhati-hati, namun laporan awal menyebut bahawa beberapa menteri luar ASEAN sudah mengadakan perbincangan tidak rasmi bagi membincangkan langkah pencegahan krisis.

Ini kerana mana-mana bentuk ketidakstabilan di rantau Indochina mampu memberi kesan besar kepada ekonomi, perdagangan rentas sempadan dan juga kestabilan politik dalaman negara-negara yang berjiran.

Ketika ketegangan terus memuncak, kedua-dua negara kini berada di persimpangan yang sangat genting. Sama ada memilih jalan rundingan diplomatik atau terus bergerak ke arah konfrontasi bersenjata, semua mata kini tertumpu kepada tindakan susulan Bangkok dan Phnom Penh.

Dunia sedang memerhati, dan harapan masih ada agar penyelesaian damai dapat dicapai sebelum lebih banyak nyawa dan maruah bangsa dikorbankan atas nama sempadan. Dipetik laporan AZ

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *