Pengumuman PM Anwar manfaat buat seluruh rakyat

KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelbagai insentif dan bantuan kepada rakyat pagi tadi, bukan sahaja dialu-alukan, tetapi nyata amat berguna bagi mengurangkan bebanan hidup rakyat.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, ketika keadaan ekonomi global yang tidak menentu, Malaysia menerusi Kerajaan Madani masih mampu bertahan dan menjalankan segala ikhtiar serta upaya untuk membantu segenap lapisan rakyat menerusi langkah-langkah yang berani dan progresif.

Katanya, penurunan harga minyak RON95, bantuan tunai Rahmah RM100 dan meluaskan bantuan Rahmah untuk mengurangkan bebanan hidup rakyat merupakan langkah berani demi kepentingan rakyat terbanyak.

“Begitu juga pengumuman tiada kenaikan tol memberikan kelegaan kepada pengguna kenderaan yang menggunakan perkhidmatan lebuh raya utama di negara ini.

“Kita berharap pengumuman Perdana Menteri ini haruslah disambut dengan perasaan bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan atas izin Allah s.w.t.

“Ini semua boleh dilaksanakan jika kita mempunyai sebuah kerajaan yang stabil, kemampanan ekonomi dan rakyat yang sentiasa bersatu menyokong sebuah pemerintahan yang mementingkan kehidupan rakyat terbanyak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Dr. Mujahid, meskipun Anwar diasak oleh barisan pembangkang, beliau nyata cekal, tabah dan bersabar menghadapi segenap cabaran tersebut.

Katanya, Perdana Menteri menyahut segala cabaran itu dengan mengutamakan kepentingan rakyat, membantu meringankan bebanan hidup rakyat terbanyak dan memulangkan lebihan pendapatan yang dijana melalui strategi perbelanjaan berhemah untuk kebajikan rakyat.

“Pihak pembangkang haruslah berhenti daripada terus mengkritik dan menghentam secara membuta tuli, menjalankan gerakan “Turun Anwar”, sedangkan tidak pernah memberikan sebarang cadangan, syor dan idea progresif untuk memajukan ekonomi negara serta kebajikan rakyat.

“Dalam suasana ekonomi dunia dan geopolitik antarabangsa yang terus tidak menentu, inilah masanya untuk seluruh rakyat bersatu menggembleng tenaga, fikiran dan hati yang kudus mempertahankan kestabilan, keamanan dan kemakmuran yang berterusan.

“Pengumuman penting Perdana Menteri hari ini haruslah disambut dengan perasaan gembira dan bersyukur bukan dengan cacian dan amarah yang tiada penghujung,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *