Tentera Kurdish tembak jatuh dron sasar lapangan terbang Iraq, medan minyak

ARBIL, IRAQ – Pasukan Keselamatan Kurdish menembak jatuh dron yang sarat dengan bahan letupan berhampiran lapangan terbang Arbil semalam dengan dua lagi dron kemudiannya mengenai sasaran di medan minyak di wilayah autonomi Kurdistan.

“Pada jam 02:20 (1120 GMT) sebuah dron sarat letupan telah ditembak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Arbil, tanpa menyebabkan kecederaan atau kematian,” kata perkhidmatan antikeganasan wilayah Kurdistan di utara Iraq.

Dron itu adalah yang kedua dipintas bulan ini berhampiran lapangan terbang yang menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS) daripada gabungan antijihad antarabangsa.

Pihak berkuasa turut mengumumkan dua dron telah mengenai sasaran di sebuah medan minyak.

“Pada jam 20:20 dan 20:25 (1720 dan 1725 GMT) dua dron sarat dengan bahan letupan jatuh di medan minyak Khurmala di Wilayah Arbil tanpa menyebabkan kecederaan,” kata perkhidmatan antikeganasan Kurdish.

Dalam satu kenyataan, Komando Operasi Bersama Iraq berkata, dua dron yang menyasarkan medan Khurmala telah menyebabkan kerosakan.

Pasukan itu menambah mereka sedang bekerjasama dengan pasukan keselamatan Kurdistan untuk menyiasat serangan itu.

Sehingga kini tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab bagi serangan ketiga-tiga dron itu.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Iraq telah menyaksikan serangan dron dan roket.

Pada 3 Julai, pihak berkuasa berkata sebuah dron dijatuhkan berhampiran lapangan terbang Arbil, dan kementerian dalam negeri serantau menyalahkan Pasukan Mobilisasi Popular (PMF) atas serangan itu.

PMF atau Hashed al-Shaabi merupakan gabungan bekas paramilitari pro-Iran yang kini diintegrasikan ke dalam angkatan bersenjata tetap.

Kerajaan persekutuan Baghdad menolak tuduhan terhadap kewujudan sebuah institusi keselamatan rasmi Iraq.

Lapangan terbang Arbil sering menjadi sasaran serangan roket dan dron sejak beberapa tahun sebelum ini.

Sudah lama dilanda konflik, Iraq telah menjadi medan pertempuran yang kerap untuk serangan sedemikian dan sering dikaitkan dengan perjuangan proksi serantau.

Negara itu baru-baru ini mula mencapai semula tahap kestabilan selepas beberapa dekad peperangan dan pergolakan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *