PN sasar 300,000 sertai Himpunan ‘Turun Anwar’ 26 Julai

PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) menyasarkan kira-kira 300,000 menyertai Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar pada 26 Julai ini, meningkat daripada 50,000 yang disasarkan sebelum ini.

Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, peningkatan itu berdasarkan maklum balas ahli parti gabungan dan orang awam yang menyatakan komitmen untuk hadir berhimpun.

“Mereka hendak hadir lebih ramai daripada apa yang kita umum, jadi kita pun dapat kiraan, dalam kalangan parti kita pun sudah cecah 100,000,” kata Afnan yang juga Ketua Pemuda PAS pada sidang media di Putrajaya.

“Jadi, kita anggarkan (dengan) ahli parti komponen PN, orang awam, pihak berkepentingan, individu-individu yang berpengaruh, kehadiran akan mencecah sekitar 300,000 pada hari himpunan.

Tambahnya, antara mereka yang dijangkakan hadir termasuk pemimpin utama gabungan dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Himpunan itu turut akan membangkitan isu ekonomi, lantikan ketua hakim, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan isu anak muda.

Dalam pada itu, Afnan mengumumkan peserta akan berhimpun di empat kawasan, iaitu Sogo, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Pasar Seni, berbanding lima yang ditetapkan sebelum ini.

Peserta diminta hadir memakai baju berwarna hitam.

Berhubung pemakluman kepada polis, Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, pihaknya telah berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Katanya, pihaknya juga menasihati peserta agar tidak membuat sebarang provokasi dan mengganggu gugat harta awam agar perhimpunan itu dapat berlangsung dengan aman.

“Jika ada apa-apa provokasi yang berlaku pada hari himpunan, kita anggap itu bukan peserta himpunan yang sah … itu anasir-anasir luar yang cuba mengganggu gugat ketenteraman dan cuba menimbulkan persepsi negatif.

“Pihak keselamatan kita akan bekerjasama dengan pihak polis dan tidak teragak-agak untuk terus mengambil tindakan terhadap peserta membuat provokasi yang melanggar undang-undang itu,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *