Putra Sepang mengetuai wujudkan Persatuan Peniaga Cyberjaya atasi masalah isu peniaga

SEPANG – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Bahagian Sepang dukacita dengan tindakan penguatkuasaan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) ke atas peniaga kecil di sekitar Cyberjaya.

Tindakan sedemikian, jika tidak diperbetul, berisiko merencatkan nadi ekonomi rakyat marhaen yang gigih berusaha mencari rezeki dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

Ketua Putra Bahagian itu, Mohamed Shahrin Ismail berkata, tindakan itu jauh menyimpang daripada semangat keadilan yang dijunjung tinggi oleh Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 153.

Pada masa sama, tegasnya, Putra Bahagian itu turut membantah pelaksanaan dasar “sifar peniaga kecil” yang disifatkan sebagai tindakan keras dan tidak berjiwa rakyat.

“Kami menegaskan undang-undang dan dasar pembangunan bandar mestilah bersifat inklusif, mempertimbang realiti kehidupan serta hakikat ekonomi semasa.

“Peniaga kecil, yang majoritinya golongan B40, ibu tunggal, warga emas dan asnaf, telah menjadi mangsa tindakan tidak berperikemanusiaan pihak PBT seperti menyita barangan perniagaan, mengeluarkan saman yang tinggi dan pengusiran yang dilakukan tanpa ruang rundingan yang adil.

“Ini bukan sahaja menzalimi mereka, bahkan mencemar pentadbiran kerajaan Madani yang seharusnya menjaga rakyat,” katanya.

Beliau menyeru pihak berkuasa tempatan tampil dengan lebih bijaksana dan berempati dalam pelaksanaan dasar.

“Kami mengusulkan agar lesen sementara diberikan kepada peniaga kecil beserta garis panduan operasi yang jelas dan berhemah.

“Kiosk serbaguna disediakan di lokasi tumpuan pelanggan agar penempatan peniaga tersusun dan tidak mengganggu landskap bandar. Ini membolehkan prinsip pembangunan mampan dan peluang ekonomi bergerak seiring.

“Dasar yang baik bukan hanya pada keindahan fizikal bandar, tetapi pada kesejahteraan insan yang mendiami dan menghidupkannya,” katanya.

Kata Mohamed Shahrin, sebagai usaha mengangkat suara peniaga kecil, Putra Bahagian itu menyokong penuh penubuhan Persatuan Peniaga Cyberjaya.

Persatuan itu, jelsa beliau, akan menjadi wadah perjuangan rakyat bawahan yang selama ini terpinggir dari meja rundingan.

“Kami percaya, bila suara rakyat diberi ruang, dasar yang terbentuk lebih adil dan berpaksikan kebenaran.

“Perkara 153 bukan sekadar peruntukan undang-undang, ia adalah amanah sejarah untuk memperkasa umat Melayu dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.

“Menutup peluang berniaga secara sewenang-wenangnya adalah pengkhianatan kepada amanah tersebut,” ujarnya.

Katanya, setiap dasar mesti dilihat dalam kerangka keadilan sejarah, realiti semasa dan hala tuju pembinaan bangsa yang bermaruah.

Oleh itu, beliau menyeru pihak berkuasa tempatan menilai semula dasar yang menekan dan membina semula jambatan kepercayaan antara rakyat dan pentadbiran.

Kata beliau, rakyat bukan beban pembangunan, sebaliknya mereka adalah tulang belakangnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *