Gantung lesen pemandu bas sebelum selesai siasatan pra matang, tidak adil – PPBM

KOTA BHARU – Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia (PPBM) menyifatkan tindakan menggantung lesen pemandu bas perdagangan sebelum siasatan selesai dijalankan boleh menjejaskan industri pengangkutan negara.

Pengerusinya, Zainal Abidin Mehat berkata, tindakan itu juga disifatkan ‘pramatang’ dan tidak adil.

Justeru katanya, kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diminta menangguhkan pelaksanaan dasar berkenaan sehingga satu rundingan menyeluruh diadakan dengan wakil industri.

“Dalam prinsip keadilan sejagat, seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Mengambil tindakan penggantungan lesen secara serta-merta sejurus berlakunya kemalangan, tanpa menunggu hasil siasatan penuh, adalah seolah-olah menghukum pemandu terlebih dahulu sebelum dibuktikan kesalahan.

“Sedangkan industri pengangkutan kini berdepan dengan kekurangan serius pemandu berpengalaman.

“Tindakan menggantung lesen tanpa proses yang adil akan memburukkan lagi situasi dan memberi kesan langsung kepada operasi syarikat, perkhidmatan logistik, pelancongan, dan pergerakan rakyat.

“Pendekatan ini juga akan menyebabkan pemandu memandu dalam ketakutan, yang boleh menjejaskan tumpuan dan kestabilan emosi mereka.

“Dalam jangka panjang, ia akan mewujudkan suasana kerja yang tidak sihat serta meningkatkan risiko keselamatan jalan raya berlawanan dengan matlamat asal penguatkuasaan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, lesen pemandu kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam yang terbabit kemalangan akan digantung serta-merta sementara siasatan dijalankan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli dilaporkan berkata, tindakan tegas secara drastik itu antara langkah penambahbaikan diambil pihaknya bagi memastikan pemandu terbabit mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin menggesa kerajaan iaitu Kementerian Pengangkutan dan JPJ menunggu hasil siasatan rasmi polis sebelum mengambil tindakan penggantungan dilakukan.

“Pada masa sama, mempertimbangkan mekanisme alternatif seperti penggantungan bersyarat atau pemantauan interim.

“Kita juga menyarankan kepada kerajaan supaya fokus kepada pendidikan, latihan keselamatan, dan pencegahan berbanding pendekatan menghukum semata-mata,” katanya.

Tegasnya, pengusaha bas tidak pernah berkompromi dalam soal keselamatan, namun pendekatan yang seimbang, adil dan inklusif perlu diambil.

“Keselamatan jalan raya tidak harus dipikul sepenuhnya oleh pemandu, ia juga berkait rapat dengan infrastruktur, penguatkuasaan, penyelenggaraan kenderaan dan perancangan sistemik.

“Kami juga berharap pihak berkuasa membuka ruang untuk libat urus bersama industri dan mempertimbangkan semula keputusan ini.

” Industri pengangkutan adalah nadi ekonomi negara, biarlah dasar yang dilaksanakan membina, bukan membebankan,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *