KPDN panggil syarikat Ramly Burger dengar penjelasan susulan dakwaan kenaikan harga – Armizan

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memanggil syarikat makanan sejuk beku, Ramly Burger, susulan tular dakwaan mengenai kenaikan harga produk keluaran syarikat itu yang mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sesi pertemuan bersama syarikat itu diadakan pada Selasa lalu bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan.

“KPDN telah mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) untuk mendapatkan justifikasi kenaikan harga yang dirancang oleh syarikat tersebut,” katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan syarikat Ramly Burger turut menangguhkan kenaikan harga barang syarikat itu buat sementara waktu.

Beliau berkata demikan dalam sidang media selepas Majlis Apesiasi Rakan Strategik sempena sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-53.

Sementara itu isu sebuah syarikat pembekal ais, Sim Yang Hok Industries Sdn Bhd yang tular baru-baru ini kerana didakwa telah menaikkan harga, syarikat itu menafikan dakwaan bahawa harga produknya meningkat daripada RM3.70 kepada RM6, dan menyifatkannya sebagai maklumat palsu.

“Mereka menjelaskan tiada sebarang notis rasmi dikeluarkan dan telah membuat laporan polis berhubung mesej tular tersebut,”

“Setakat ini, kedua-dua syarikat menyatakan bahawa sebarang cadangan kenaikan harga adalah disebabkan kos operasi, dan bukan berpunca daripada pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” jelas Armizan.

Armizan turut menasihati mana-mana syarikat agar berunding dengan KPDN sebelum melaksanakan kenaikan harga, bagi memastikan ia tidak melanggar undang-undang pencatutan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *