PENJAYA sedia bawa penjaja kecil Putrajaya tembusi pasaran antarabangsa

PUTRAJAYA – Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya (PENJAYA) menyasarkan mengenal pasti 20 penjaja dan peniaga kecil berpotensi dari wilayah ini untuk diketengahkan ke pasaran antarabangsa dalam tempoh dua tahun akan datang.

Presidennya, Juhaidi Yean Abdullah berkata, inisiatif itu adalah langkah strategik untuk memperkasa ekonomi komuniti penjaja tempatan dan memperluas capaian mereka ke luar negara.

“Kita akan mengenal pasti penjaja yang bersedia dan mempunyai potensi untuk dikembangkan perniagaan mereka.

“Dalam masa dua tahun, dengan kerjasama MATRADE, institusi kewangan dan agensi berkaitan, kita mahu produk mereka berada di pasaran luar negara,” katanya yang ditemui dalam Mesyuarat Agung Tahunan PENJAYA ke-13 di sini, semalam.

Kata beliau, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Putrajaya menerima hampir 2 juta pelancong domestik dan antarabangsa setiap tahun, menjadikan ia lokasi strategik yang penuh potensi untuk para penjaja dan peniaga kecil memasarkan produk serta jenama mereka.

“Putrajaya kini sudah berusia 27 tahun dan merupakan ikon negara. Sudah tiba masanya untuk kita bukan sahaja memanfaatkan kehadiran pelancong, tetapi juga mengangkat martabat penjaja dan peniaga kecil tempatan agar menjadi antara yang terbaik di Malaysia,” ujarnya lagi.

Dalam mesyuarat yang sama, Juhaidi dilantik semula sebagai Presiden PENJAYA bagi penggal 2025-2027, meneruskan kepimpinan yang dimulakan sejak tahun 2023.

Beliau merupakan tokoh berpengalaman luas dalam bidang perniagaan dan perkhidmatan awam selama lebih 40 tahun.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan tersebut, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Zainal Abdul Majid, memaklumkan pihaknya berhasrat menganjurkan Konvensyen Penjaja ASEAN selewat-lewatnya menjelang tahun depan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *