Oleh: Abd. Ghaffar Daud
RANTAU PANJANG – Empat suri rumah dari Kampung Gual Tok Deh dekat sini, mengusahakan tanaman cili padi bara dengan gigih demi menjana pendapatan sejak tiga tahun lalu.
Setiap musim, mereka menanam kira-kira 700 pokok cili dalam beg plastik yang dijaga dengan rapi bagi mendapatkan hasil yang baik.
Seorang suri rumah, Hindun Jusoh berkata, dia dan yang lain mengusahakan tanaman itu di bawah program penyelarasan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk Sahabat Komuniti Desa (SKoD) Kampung Gual Tok Deh.
Katanya, atas kesepakatan daripada tiga yang lain, iaitu Hazimah Mohd Razali, Rogayah Idris dan Norwati Ayub, tanaman cili padi bara tahun ini sangat memuaskan.
“Hampir dua bulan saya tanam cili padi bara ini, hari ini sudah menghasilkan buahnya.
“Cili ini saya akan bawa ke Pasar Tasek Raja, Pasir Mas untuk dijual kepada pemborong dengan harga RM15 sekilo,” katanya ketika ditemui wartawan Nasionaldaily di sini.
Katanya lagi, dia juga bersedia menjual cili itu kepada penduduk kampung yang memerlukan dalam jumlah yang kecil.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Nak beli dalam kadar RM1 atau RM2 pun boleh, saya sedia jual,” katanya lagi.
Sementara itu, rakannya, Hazimah berkata, atas minat bercucuk tanam dan jarang diusahakan penduduk kampung, dia memberanikan diri untuk menyahut seruan itu, walaupun pekerjaan itu berdepan dengan panas dan hujan.
Ujarnya, Allah telah menetapkan rezeki kepada setiap hamba-Nya, hanya terletak pada diri seseorang untuk berusaha mendapatkannya.
“Hasilnya, saya bersama tiga rakan lagi menyahut seruan ini dan mengusahakan tanaman cili api bara ini dengan jaya sekali,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
