Polis buru pemandu Triton putih viral, lolos dalam semak

JOHOR BAHRU – Polis mencari pemandu pikap Mitsubishi Triton berwarna putih yang melarikan diri dalam semak selepas dikejar malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berumur 27 tahun itu bertindak agresif terhadap anggota polis ketika melarikan diri dari sekatan jalan raya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Kejadian berlaku sekitar jam 8.50 malam ketika dua anggota polis dari balai BSI sedang bertugas di laluan bas.

“Polis menahan kenderaan suspek yang didapati menggunakan laluan tidak dibenarkan. Suspek memandu melarikan diri sejauh tujuh kilometer dan dikejar dua motosikal polis trafik serta lima kereta peronda (MPV).

“Ketika pemeriksaan, suspek tiba-tiba memecut dan melarikan diri secara berbahaya sebelum meninggalkan kenderaan di tepi jalan dan melarikan diri ke kawasan semak.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan itu menemui sebatang kayu golf dan sebilah pisau berukuran 18 sentimeter,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Berita Harian.

Menurut Raub, semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Suspek telah didaftarkan sebagai orang dikehendaki polis dan gerakan mengesannya giat dijalankan.

Terdahulu, tular video berdurasi 14 saat memaparkan pikap berwarna putih memandu mengundur, dan cuba mengelak dari seorang individu yang cuba memberhentikan kenderaan terbabit.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *