PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan pagi ini akan menyambung prosiding pendengaran rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi mengetepikan sabitan dan hukuman empat tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dihadapinya berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Pada pendengaran 19 dan 20 Mac lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, selesai mendengar hujahan peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Berikutan itu, ia seterusnya akan bersambung hari ini dengan mendengar hujahan responden, iaitu Pendakwa Raya yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, yang tidak dapat meneruskan hujahannya sebelum ini kerana sakit tekak.
Selepas itu, hujahan berkenaan akan dibalas pula oleh peguam Syed Saddiq, dan panel boleh membuat keputusan pada hari itu juga atau menangguhkan kepada tarikh lain, jika memerlukan masa untuk berbuat demikian.
Jika mahkamah membenarkan rayuan itu, Syed Saddiq akan bebas daripada tuduhan berkenaan, dan responden masih boleh merayu di Mahkamah Persekutuan.
Jika rayuan berkenaan ditolak, Syed Saddiq ada satu peluang lagi untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Berita Harian melaporkan, bekas Menteri Belia dan Sukan itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.
Menerusi petisyen rayuan, Syed Saddiq mengemukakan 18 alasan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya, antara lain mendakwa bagi pertuduhan pertama iaitu bersubahat melakukan pecah amanah, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid terkhilaf apabila menyamakan pengeluaran dengan perbelanjaan.
Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari ARMADA ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana ARMADA berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001