DUN Sabah bersidang 10 hingga 17 April, mungkinkah terakhir sebelum bubar?

DUN Sabah bersidang 10 hingga 17 April, mungkinkah terakhir sebelum bubar?

18/03/2025

Dipetik laporan Izwan Abdullah @ BHNews

KOTA KINABALU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijadual bersidang pada 10 April hingga 17 April depan.

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima 2025 DUN Sabah Ke-16 itu berkemungkinan menjadi antara persidangan terakhir sebelum DUN sekarang dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Satu lagi persidangan DUN boleh diadakan yang lazimnya pada Julai jika penggal DUN sekarang tidak dibubar sehingga tempoh itu.

Tempoh DUN Ke-16 Sabah ketika ini dijadual berakhir pada Oktober depan jika ia tidak dibubar lebih awal dari tarikh tamat tempohnya.

Penetapan tarikh persidangan berkenaan dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong, menerusi keluaran khas Warta Kerajaan Sabah bertarikh 12 Mac lalu.

Menerusi warta berkenaan, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, membuat proklamasi memanggil persidangan DUN mengikut Fasal (1) Artikel 21 Perlembagaan Negeri Sabah.

Fasal berkenaan memperuntukkan Yang Dipertua Negeri Sabah boleh dari semasa ke semasa memanggil DUN untuk bersidang.

Persidangan di Aras 4, Bangunan DUN Sabah itu dijadual bermula pada 10 April sebelum disambung pada 14, 15, 16 dan 17 April.

Pada hari pertama persidangan kebiasaannya diadakan istiadat pembukaan DUN dan ucapan dasar kerajaan negeri yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri.

Ia adalah persidangan DUN pertama bakal dirasmikan Tun Musa selepas mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-11 di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada 1 Januari lalu.

Bekas Ketua Menteri Sabah Ke-14 itu menggantikan Tun Juhar Mahiruddin.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *