YBR salur bantuan kepada 90 anak yatim, ibu tunggal, asnaf di Sepang

YBR salur bantuan kepada 90 anak yatim, ibu tunggal, asnaf di Sepang

17/03/2025

SEPANG – Prihatin kepada mereka yang kurang bernasib baik, Yayasan Bank Rakyat (YBR) tampil menghulurkan bantuan kepada golongan anak yatim, ibu tunggal dan asnaf sempena Ramadan di sekitar jajahan ini, semalam.

Program itu dalam usaha YBR menyantuni golongan yang memerlukan, di samping mengeratkan silaturahim dengan mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, bantuan khas berjumlah RM24,400 itu disampaikan kepada seramai 90 anak yatim, ibu tunggal dan asnaf yang telah dikenalpasti untuk menerimanya melalui Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Masjid Kuarters KLIA.

Kata beliau, YBR cakna dengan kekangan dihadapi dan berharap bantuan itu menjadi medium dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta memberi sinar keceriaan di bulan Ramadan dan juga sebagai persiapan dalam menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Bantuan ini diharapkan dapat memberi sedikit kelegaan dan membantu mereka dalam menghayati keberkatan, kepentingan, tuntutan dan cabaran beramal sepanjang Ramadan.

“Semoga lebih banyak program sebegini dapat diadakan, sekali gus merapatkan lagi ukhuwah antara organisasi luar dengan masyarakat di Sepang ini,” katanya pada majlis ringkas penyerahan bantuan itu.

Turut hadir, Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Kata Syaiful Rizal lagi, pihaknya amat menitikberatkan golongan yang memerlukan bantuan terutama anak yatim, asnaf dan ibu tunggal yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar.

Ujarnya, YBR akan sentiasa berusaha untuk memperbanyakkan lagi bantuan seumpama itu, yang mana ia bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, malah diharapkan menjadi pemangkin kepada organisasi lain untuk turut sama menyantuni mereka yang tidak bernasib baik dalam mengharungi kehidupan dan ekonomi yang semakin mencabar.

Sepanjang tahun 2024, YBR telah memperuntukkan hampir RM600,000 bagi pemberian sumbangan kepada mereka yang memerlukan terutama dari kalangan B40. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *