AS pertimbang sekatan perjalanan terhadap puluhan negara

AS pertimbang sekatan perjalanan terhadap puluhan negara

16/03/2025

WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sedang mempertimbangkan sekatan perjalanan yang meluas terhadap warganegara dari puluhan negara sebagai sebahagian daripada larangan baharu.

Menurut laporan Reuters, yang memetik satu memo dalaman, menyenaraikan sejumlah 41 negara yang dibahagikan kepada tiga kumpulan berasingan.

Kumpulan pertama terdiri daripada 10 negara, termasuk Afghanistan, Iran, Syria, Cuba, dan Korea Utara yang bakal dikenakan penggantungan visa sepenuhnya.

Kumpulan kedua merangkumi Eritrea, Haiti, Laos, Myanmar dan Sudan Selatan, akan menghadapi sekatan separa yang memberi kesan kepada visa pelancongan, pelajar, serta beberapa kategori visa imigran, dengan beberapa pengecualian.

Kumpulan ketiga melibatkan 26 negara, termasuk Belarus, Pakistan dan Turkmenistan, yang akan dikenakan sekatan visa separa sekiranya kerajaan masing-masing gagal menangani “kelemahan dalam kawalan keselamatan” dalam tempoh 60 hari.

Seorang pegawai AS yang enggan dikenali berkata, senarai tersebut masih belum dimuktamadkan dan tertakluk kepada perubahan sebelum mendapat kelulusan pentadbiran, termasuk oleh Setiausaha Negara, Marco Rubio.

Langkah ini mengulangi larangan perjalanan yang pernah dikuatkuasakan semasa penggal pertama Trump, yang menyasarkan pelancong dari tujuh negara majoriti Muslim.

Polisi tersebut melalui beberapa pindaan sebelum akhirnya disahkan oleh Mahkamah Agung AS pada 2018.

Pada 20 Januari lalu, Trump telah mengeluarkan perintah eksekutif bagi mengetatkan pemeriksaan keselamatan terhadap warga asing yang ingin memasuki AS, sebagai langkah untuk mengesan ancaman keselamatan negara.

Arahan tersebut turut mengarahkan beberapa ahli kabinet untuk menyerahkan senarai negara yang sepatutnya dikenakan sekatan penuh atau separa sebelum 21 Mac ini.

Sekatan ini merupakan sebahagian daripada tindakan keras ke atas imigresen yang dilancarkan oleh Trump sejak awal penggal kedua beliau.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *