“LENSA TAFAKUR”
14/03/2025
Mohd. Shah Abdullah
CABARAN terbesar kerajaan pada semua keadaan dan tempat ialah mengurus kepelbagaian. Semua pihak, warganegara dan pemegang taruh berasa mereka ada hak di tanah air ini.
Orang Melayu berasa mereka peribumi asal di watan ini manakala Cina, India dan suku kaum lain sudah menjadi warganegara Malaysia yang sah.
Berlaku sahaja pertembungan, kadangkala konflik dan polemik tentang agama, bahasa, budaya serta hal-hal lain yang bersangkutan. Jika tidak diuruskan dengan baik boleh mengundang bencana.
Hal kebencian terhadap kaum dan agama timbul kerana prasangka, salah faham dan persepsi. Biarpun sudah lebih 60 tahun merdeka, debat Melayu, Islam dan bukan Melayu tetap bersenandung.
Mujur suasana ini masih tetap terkawal kerana badan penguatkuasa seperti polis dan perisikan diakui antara yang terlatih, cekap dan profesional.
Perbalahan agama dan kaum amat kritikal dan berbahaya. Sebarang konflik dan sengketa mengundang nestapa dan malapetaka. Kita memerlukan kebijaksanaan, kesabaran dan akal waras berdepan semua situasi ini. Gelabah dan gaban hanya memburukkan lagi situasi.
Satu cabaran ialah media sosial (medsos) yang terlalu mudah dieksploitasi netizen dan khalayak awam untuk menyebarkan berita palsu, khabar angin dan sensasi perihal isu-isu kaum dan agama tanpa menyemak kesahihan fakta.
Ini masalah besar. Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak harus ada kompromi dalam hal ini. Penyebaran berita palsu apa lagi yang terkait sensitiviti agama, kaum, dan Raja-Raja Melayu harus dianggap jenayah. Mereka yang menyebar angin harus menerima badai. Pada analisis akhir, negara dan bangsa, perpaduan dan kestabilan, kemakmuran dan kelestarian hidup bersama jauh mengatasi kepentingan diri peribadi, kelompok serta suku kaum.
Kita harus berfikir cara Malaysia. Kata kuncinya ialah perpaduan. Semua kaum tanpa kecuali. Mengapa perpaduan? Selepas lebih 60 tahun merdeka dan 15 kali pilihanraya umum, semua pasti bersetuju kemakmuran dan kemajuan pesat negara hari ini hasil perpaduan rakyat.
Lihat respon pemimpin baharu Kanada dalam isu tarif oleh Presiden Donald Trump. Jawapan senada baik oleh bekas Perdana Menteri, Justin Trudeau dan penggantinya Mark Carney jelas – rakyat Kanada cukup bersatu menghadapi tentangan perang dagang Amerika Syarikat tersebut.
Begitu juga kita di Malaysia. Kita telah melalui situasi kritis yang getir seperti krisis kewangan 1998, disusuli krisis politik serta pelbagai krisis domestik yang lain. Semuanya dilalui dengan satu semangat bahawa seluruh rakyat masih mendahulukan perpaduan.
Jika ada satu formula kejayaan Malaysia, maka jawapan tuntasnya perpaduan.
Kita meraikan hari kebesaran semua kaum di negara ini sambil saling mengucapkan selamat sebagai tanda persahabatan kemanusiaan sejagat. Kita mengunjungi rumah terbuka. Kita bersikap tasamuh, berlapang dada dan saling menghormati.
Jika ada kes terpencil menyemarakkan api perkauman dan agama, ia bukan mewakili seluruh segmen pandangan masyarakat Malaysia. Yang terbabit jika betul melakukan kesalahan mesti segera ditangkap dan dihukum. Si pesalah bukan berada di atas undang-undang. Dia tertakluk kepada hukum, undang-undang dan Perlembagaan.
Mutakhir ini banyak yang cuba bermain api perkauman dan agama. Ini amat tidak sihat, jijik dan kotor. Ucapan dan tulisan kebencian disebar dan dikembangkan lewat medsos. Hentikan ini. Sekali lagi pihak penguatkuasaan harus tegas dan lugas dalam tindakan. Tangkap, dakwa dan hukum tanpa pilih bulu.
Jika negara dan bangsa hangus terbakar akibat permainan isu kaum dan agama, maka siapa rugi? Tentu sekali seluruh bangsa. Huru-hara dan sengketa. Konflik dan permusuhan hanya mengundang malapetaka lebih besar.
Kita berada pada satu titik peralihan penting negara. Kerajaan yang ada hari ini adalah Kerajaan Perpaduan. Satu formula yang memandang ke hadapan menyatukan parti-parti politik yang lama bersengketa.
Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, UMNO dan parti-parti gabungan di Sabah dan Sarawak membentuk satu muafakat politik yang tidak terduga. Masing- masing ada bebanan politik yang terpaksa ditanggung. Akan tetapi semangat perpaduan dan kepentingan negara jauh mengatasi segala pertimbangan remeh dan titik bengik. Awalnya sukar tetapi lama-kelamaan menjadi tenang biarpun gelora politik tetap bergema.
Kini Kerajaan Madani sedang melalui fasa peralihan ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengilhami, memimpin dan mengemudi negara bersama satu pasukan yang rencam.
Ikhtiar dan upaya perancangan terfokus kepada tatakelola baik, mengatasi rasuah, ketirisan dan dalam masa yang sama mencipta kemakmuran ekonomi. Ini bukan tugas mudah kerana situasi geopolitik dunia turut tidak menentu.
Ada tugas amat besar, iaitu memastikan kestabilan dan keupayaan ekonomi tetap cergas meskipun persekitaran global amat tidak menentu. Justeru, Malaysia perlu berkawan dan berdagang dengan semua negara, baik di timur mahupun barat.
China, India, dan Amerika Syarikat antara rakan dagangan mustahak Malaysia. Begitu juga banyak negara lain termasuk di Timur Tengah. Pilihan kita bukan untuk bermusuhan dengan mana-mana negara tetapi mengeratkan muafakat terutama pihak industri, pemain korporat dan golongan peniaga serta usahawan manakala kerajaan sesebuah negara sebagai rakan pemudahcara
Itu yang telah dan sedang dirintis Anwar dan Kerajaan Madani.
Menyedari itu semua, kekuatan kita terletak kepada perpaduan rakyat. Retak dan pincang dalaman kita pasti memberi kesan menjejaskan segala upaya dan ikhtiar mencipta kemakmuran ekonomi dan kestabilan negara.
Kerajaan Madani sedang bekerja. Rakyat pelbagai kaum, bangsa dan agama perlu memberi sokongan padu dan gemuruh. Kita tidak boleh menerima gelaran negara gagal.
Sebelum kecundang, terus berjuang kerana potensi kita luas terbentang. Kita harus mengurus kepelbagaian ini untuk mencipta kemenangan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
– NDTikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001