Membina Jambatan Kasih Merentas Sempadan: Kejayaan Global Volunteer Mission di Bali

Membina Jambatan Kasih Merentas Sempadan: Kejayaan Global Volunteer Mission di Bali

07/03/2025:

BALI, INDONESIA – Global Volunteer Mission (GVM) to Bali, Indonesia yang berlangsung pada 24 Februari sehingga 1 Mac lalu berjaya memberi impak positif kepada masyarakat setempat di daerah itu.

Program anjuran Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, dengan kerjasama institusi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) itu antara lain bertujuan mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Menurut laporan United Nations Development Programme (UNDP), sekitar 9.2 peratus penduduk dunia masih hidup dalam kemiskinan ekstrem dengan jurang pendidikan dan akses kepada kebersihan asas menjadi cabaran utama.

Di Indonesia dan Malaysia, isu ketidakseimbangan sosial, peluang pekerjaan terhad dalam kalangan belia serta ancaman terhadap kelestarian alam sekitar terus menjadi perhatian utama.

Oleh itu, inisiatif kesukarelawan global seperti GVM menjadi pemangkin dalam usaha memperbaiki keadaan ini.

Antara aktiviti dijalankan bawah projek ini ialah SDGs Forum: Empowering University Students for a Sustainable Future bersama Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM), Institut Sains dan Teknologi Nahdlatul Ulama Bali (ISTNUBA).

Forum ini membuka ruang kepada mahasiswa bertukar pandangan mengenai inisiatif kesukarelawanan yang menyokong SDG seperti pendidikan berkualiti (SDG 4), keamanan, keadilan dan institusi yang kukuh (SDG 16), tindakan iklim (SDG 13) dan kesaksamaan jantina (SDG 5).

Isu-isu semasa seperti kemiskinan, ketidakseimbangan pendidikan dan peningkatan pengangguran dalam kalangan belia di Indonesia dan Malaysia turut dibincangkan sebagai cabaran bersama yang perlu ditangani melalui inisiatif kesukarelawanan dan pendidikan.

Di Panti Asuhan Yayasan Al Hikmah, sukarelawan melaksanakan program Personal Care & Hygiene, aktiviti kitar semula dan agihan sumbangan.

Aktiviti ini menyokong kesihatan dan kesejahteraan yang baik (SDG 3), tiada kemiskinan (SDG 1) serta kebersihan air dan sanitasi (SDG 6), memberi kesedaran mengenai kepentingan kebersihan dan penjagaan diri.

Keprihatinan terhadap isu kebajikan kanak-kanak yang kehilangan penjaga akibat pandemik serta eksploitasi kanak-kanak dalam tenaga kerja turut dibincangkan.

Di SMA Negeri 2 Denpasar, peserta memberi pendedahan kepada remaja mengenai kesihatan mental, pendidikan seksual serta perkembangan diri remaja.

Selari dengan SDG 5 (Kesamarataan Jantina), dan SDG 10 (Mengurangkan ketidaksamaan), program ini membantu meningkatkan kesedaran sosial dalam kalangan remaja.

Isu gejala sosial seperti peningkatan kes gangguan seksual dan kesedaran terhadap kesihatan mental dalam kalangan belia di kedua-dua negara turut diketengahkan.

Dalam usaha untuk memperkukuhkan kesedaran terhadap alam sekitar, mahasiswa turut bekerjasama dengan Pusat Perlindungan Lingkungan Hidup Bali (PPLH) dengan melaksanakan aktiviti seperti penanaman pokok dan pembinaan saluran resapan biopori di kawasan komuniti setempat.

Aktiviti ini bertujuan menanamkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar serta memupuk tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.

Lebih daripada itu, penyertaan aktif penduduk tempatan dalam inisiatif ini diharapkan dapat membentuk sikap prihatin dan komitmen jangka panjang terhadap pemeliharaan alam sekitar. 

Program ini bukan sekadar aktiviti sukarelawan, tetapi juga medan pembelajaran holistik bagi mahasiswa UiTM.

Selain membina kepimpinan dan empati, peserta lebih peka terhadap isu-isu global. Bagi komuniti tempatan, kehadiran sukarelawan Malaysia membawa manfaat besar, khususnya dalam pendidikan dan kebajikan sosial.

Nur Adilah Muhammad, seorang peserta, berkongsi: Program ini membuka mata saya mengenai keperluan masyarakat di luar negara. Sekecil-kecil bantuan boleh memberi impak besar kepada mereka. Ia satu pengalaman yang mengubah perspektif saya terhadap kesukarelawanan”.

Kejayaan pelaksanaan projek Global Volunteer Mission to Bali mencerminkan komitmen besar mahasiswa dalam mendukung agenda pembangunan sejagat serta menggalakkan penyertaan belia dalam usaha merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai satu inisiatif penting dalam memperkasakan komuniti dan memupuk kesedaran sosial yang lebih luas.

Penulis, Mohamad Aiman Hakim Mohamad Nizam, Timbalan Pengarah Program 2 Global Volunteer Mission to Bali UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *